PORT DICKSON, 6 JAN: Makam Almarhum Raja Hassan Almarhum Raja Muda Nala di Kampung Chuah, Lukut di sini bakal menjadi destinasi tumpuan pengkaji sejarah seluruh negara.
Sehubungan itu menurut EXCO kebudayaan Selangor, Perbadanan Adat dan Warisan Selangor (Padat) serta Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) membenarkan golongan berkenaan melawat makam Baginda yang juga dikenali sebagai Raja Busu bagi tujuan kajian serta penyelidikan.
Bagaimanapun, Borhan Aman Shah berkata permohonan harus dibuat kepada pihak terbabit terlebih dahulu bagi memastikan tiada pelanggaran prosedur ditetapkan.
“Mereka (pengkaji sejarah) boleh datang ke makam ini tetapi kena maklumkan kepada Padat dan Jais sebab kita bimbang sekiranya kajian mereka tidak mengikut prosedur yang betul.
“Kita tidak benarkan mereka buat penggalian atau apa jua pengubahsuaian melainkan ada titah daripada Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj,” katanya ditemui selepas majlis penyerahan projek menaik taraf makam berkenaan di sini hari ini.
Beliau berkata orang ramai yang mahu mengadakan upacara tahlil turut dibenarkan berbuat demikian mengikut tarikh dan masa ditetapkan Jais.
“Sesiapa sahaja rakyat jelata boleh hadir untuk mengadakan bacaan tahlil atau apa jua berkaitan keagamaan asalkan tidak menyalahi ajaran Islam.
“Sekiranya ada niat untuk mengadakan sesuatu di luar tabii atau ajaran Islam, kita tidak benarkan sesuai dengan titah Tuanku supaya jangan ada perkara khurafat,” katanya.
Makam Raja Busu yang terletak di puncak perbukitan di kampung terbabit selesai dinaik taraf sepenuhnya 15 November lalu sejak dimulakan 1 Ogos dengan kos RM249,280.50.
Naik taraf itu membabitkan makam Baginda dan isteri termasuk lima makam lain, membina sebuah wakaf terbuka, pagar kawasan, laluan pejalan kaki, tangga sedia ada, pembersihan kawasan dan pemasangan papan tanda.