EXCO Industri dan Perdagangan Dato’ Teng Chang Khim ketika sidang media sambutan Rumah Terbuka Perayaan Tahun Baru Cina 2023 di Invest Selangor Berhad, Shah Alam pada 16 Januari 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONALSELANGOR

EXCO: Pembukaan sempadan China bantu pelaburan Selangor meningkat

SHAH ALAM, 16 JAN: Jumlah pelaburan negeri ini diyakini terus meningkat berikutan beberapa faktor termasuk pembukaan sempadan China baru-baru ini, kata EXCO industri dan perdagangan.

Dato’ Teng Chang Khim berkata sepanjang 10 tahun terakhir ini, Selangor sememangnya memperoleh jumlah pelaburan tertinggi daripada pemain industri republik berkenaan.

“Penularan wabak Covid-19 di seluruh negara selain perang dagang antara China dan Amerika Syarikat memberi kelebihan. Jadi kita gunakan peluang ini sebaik mungkin menarik lebih ramai pelabur.

“Selain itu Asia Tenggara juga menjadi tumpuan pelabur negara serantau sama ada timur atau barat sebagai lokasi transit perniagaan,” katanya pada sidang media rumah terbuka Tahun Baharu Cina hari ini.

Jelas Chang Khim, meskipun pakar berpandangan 2023 merupakan tahun mencabar namun Selangor sudah bersedia mendepaninya dengan pelbagai program dan inisiatif khususnya pembangunan Rancangan Selangor Pertama (RS-1).

Sementara itu beliau berkata hasil premium negeri membantu pelaburan negeri mencecah RM60 juta dalam tempoh tujuh hari pertama tahun ini.

“Kebanyakannya kita dapat daripada premium iaitu hasil negeri. Ia sumber utama Kerajaan Negeri,” katanya.

Minggu lalu Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata Kerajaan Negeri berada di landasan tepat bagi mencapai sasaran kutipan hasil RM2 bilion susulan kemampuan mengutip RM60 juta dalam tempoh tujuh hari.


Pengarang :