EXCO Pembangunan Usahawan Rodziah Ismail menyampaikan cenderamata kepada Presiden Persatuan Worldwide Industrial Cyrus Tan selepas menerima kunjungan Ahli Persatuan Worldwide Industrial, International Strategic Institute, Persatuan Usahawan Cina KL dan Selangor dan SME Bangsa Cina ke Yayasan Hijrah Selangor di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 13 Januari 2023.Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

EXCO: Permintaan tinggi faktor Hijrah tawar pinjaman kepada usahawan negeri lain

SHAH ALAM, 13 JAN: Permohonan tinggi usahawan negeri lain untuk mendapat pinjaman perniagaan menjadi faktor Yayasan Hijrah Selangor (Hijrah) membuka tawaran kepada golongan tersebut, kata EXCO pembangunan usahawan.

Rodziah Ismail berkata inisiatif diperkenalkan tahun ini mengutamakan peniaga yang mempunyai premis bersempadanan Selangor iaitu Negeri Sembilan, Kuala Lumpur, Putrajaya dan Perak.

“Kita memang terima banyak permohonan pinjaman antaranya Kedah, Kelantan tetapi buat masa ini kita tawarkan kepada negeri bersempadan sahaja.

“Kita yakin kerajaan perpaduan serta kementerian tertentu akan dapat membantu semua usahawan di negara ini menerusi Yayasan Tabung Kumpulan Usaha Niaga Nasional dan Amanah Ikhtiar Malaysia,” katanya.

Beliau ditemui selepas menerima kunjungan deligasi Pertubuhan Industri Sedunia (WIA) dan Institut Strategik Antarabangsa di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, hari ini.

Awal bulan ini, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari memaklumkan Hijrah menawarkan bantuan pinjaman kepada usahawan negeri lain yang mempunyai premis niaga bersempadan Selangor.

Sejak ditubuhkan pada 2015, Hijrah membantu 55,834 usahawan melibatkan belanja RM710 juta setakat November lalu merangkumi modal perniagaan serta membesarkan perusahaan.

Sementara itu Presiden WIA Cyrus Tan berkata skim ditawar Hijrah akan menyokong ekosistem perniagaan peminjam berikutan lengkap dengan kursus serta latihan.

“Skim bukan hanya beri pinjaman kewangan tetapi turut lengkap dengan latihan untuk operasi niaga. Usaha ini sangat membantu terutama peniaga baharu,” katanya.


Pengarang :