EXCO Kebudayaan dan Warisan Borhan Aman Shah berucap ketika Konsert Rentak Selangor dan Manifestasi Keroncong 2022 di Pusat Pelancong Malaysia (MaTiC), Kuala Lumpur pada 29 Januari 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
EXCOSELANGOR

EXCO: Tambah baik program seni dan budaya, sesuai peredaran masa

Oleh DIANA ABD WAHAB

KUALA LUMPUR, 30 JAN: Kerajaan Negeri mahu program persembahan seni dan budaya masyarakat, Rentak Selangor ditambah baik pada tahun-tahun akan datang supaya sesuai mengikut peredaran masa.

EXCO Kebudayaan dan Warisan Borhan Aman Shah berkata usaha tersebut memerlukan penglibatan pihak berkaitan bagi mengumpul maklumat dan merekodkan kegiatan itu yang masih aktif serta diamalkan di negeri ini.

“Perancangan rapi diperlukan dan dilaksanakan dengan teratur melalui penglibatan antaranya sektor pendidikan dan pelancongan bagi memastikan seni, budaya serta warisan dapat diwarisi sebagai satu kebudayaan bernilai oleh generasi akan datang.

“Saya menyeru rakyat Malaysia, khususnya Selangor agar terus berganding bahu menyemarak dan memperkasakan khazanah warisan agar terus diamalkan serta tersenarai pada peringkat dunia,” katanya.

Beliau berucap pada majlis perasmian Konsert Rentak Selangor dan Manifestasi Keroncong di Pusat Pelancongan Malaysia (Matic) Jalan Ampang, di sini, malam tadi.

Konsert Rentak Selangor diperkenalkan sejak 2016 sebagai usaha menyemarak seni, budaya dan warisan dengan menyediakan landasan persembahan.

Ia turut menyediakan ruang kepada tokoh warisan budaya dan penggiat seni budaya dari pelbagai komuniti di Selangor untuk berkongsi ilmu.


Pengarang :