Orang ramai melihat model konsep awal pembangunan Kompleks Sukan Shah Alam di pusat beli belah SACC Mall, Shah Alam pada 28 Januari 2023. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

FAS puji inisiatif MBI anjur pameran Stadium Shah Alam, raih pandangan semua pihak

SHAH ALAM, 28 JAN: Sesi libat urus awam projek pembangunan Kompleks Stadium Shah Alam (KSSA) yang diadakan ketika ini hingga 10 Februari membuktikan pandangan semua pihak diutamakan.

Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) menganggap tindakan berkenaan tepat sekali gus membantu Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI menambah baik struktur bangunan sebelum kerja pembinaan bermula.

Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Bola Sepak Selangor Dr Johan Kamal Hamidon. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

“Ini satu usaha sangat bagus. Semua pihak terutama penyokong tegar Red Giant dapat menilai dan meneliti reka bentuk Stadium Shah Alam yang baharu.

“Jika ada pandangan lain, mereka boleh adukan. MBI pastinya akan mengambil cadangan yang baik untuk kemajuan stadium ini,” kata Ketua Pegawai Eksekutifnya Dr Johan Kamal Hamidon.

Beliau ditemui selepas program Meet & Greet tiga pemain import Selangor FC musim ini sempena Majlis Hari Jersi Selangor di SACC Mall hari ini.

Dr Kamal sendiri mengakui teruja dengan pembangunan KSSA terutama reka bentuk Stadium Shah Alam yang bakal menjadi tempat beraksinya pasukan Red Giant kelak.

“Stadium dilengkapi pelbagai fasiliti yang semestinya untuk memudahkan pengunjung. Projek ini bukan hanya untuk bola sahaja tetapi pelbagai aktiviti riadah lain,” katanya.

Orang ramai melihat papan informasi pembangunan
Kompleks Sukan Shah Alam di pusat beli belah SACC Mall, Shah Alam pada 28 Januari 2023. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Projek pembangunan melibatkan seluas 188 ekar bakal menempatkan stadium bertaraf dunia yang merangkumi 60 peratus daripada keseluruhan kawasan.

Baki 40 peratus adalah taman rekreasi dan ruang komersial yang diaspirasikan bagi menggalakkan interaksi dalam komuniti serta peluang keusahawanan kepada belia.


Pengarang :