Ketua Tanggungjawab Sosial Korporat Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI Ahmad Azri Zainal Nor (berdiri enam kiri) bergambar bersama penaja pada majlis Undian Liga Super Wanita FAS 2023 di Sunway Resort Hotel Bandar Sunway Petaling Jaya pada 25 Januari 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMASUKANKINI

FAS wajibkan pasukan tandingi Liga Super Wanita ada jurulatih wanita

SUBANG JAYA, 26 JAN: Liga Super Wanita Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) edisi kedua tahun ini mewajibkan setiap pasukan mempunyai jurulatih wanita.

Setiausaha agungnya berkata pihaknya meletakkan kewajipan itu sebagai salah satu syarat pertandingan kerana mahu menekankan peranan jurulatih wanita.

Jelas Izrin Nabil Ismail, kebanyakan pertandingan bola sepak dikendali jurulatih lelaki dan kurang diberi penekanan dalam melahirkan jurulatih wanita.

Setiausaha Agong FAS Izrin Nabil Ismail

“Oleh demikian, pada musim kali ini kita tekankan perkara itu dengan meletakkan antara syarat wajib pasukan mendaftar sekurang-kurangnya seorang jurulatih wanita.

“Ini antara agenda utama FAS dalam memperkasakan kejurulatihan wanita selain mencungkil bakat baharu bola sepak melibatkan wanita,” katanya pada majlis undian Liga Super Wanita FAS 2023 semalam.

Izrin juga yakin Liga Super Wanita FAS akan berkembang dari semasa ke semasa sehingga mampu disertai 20 pasukan.

“Untuk tahun ini sahaja sebenarnya kita ada menerima banyak penyertaan namun terpaksa ditolak kerana melepasi tarikh ditetapkan.

“Bagaimanapun, kita berharap setiap pemain dapat serlahkan bakat masing-masing kerana ini platform mereka untuk pergi lebih jauh,” katanya.

Liga Super Wanita FAS dijadual berlangsung dalam tempoh dua bulan bermula 8 Februari depan menawarkan hadiah wang tunai RM10,000 untuk juara manakala naib juara pula RM5,000.

Untuk edisi 2023 ini menyaksikan 12 pasukan yang dibahagikan kepada dua kumpulan bakal berentap merebut gelaran juara.

Kumpulan A terdiri daripada FC Spicegals, MBSJ FC, NSW FC, Shah Alam United, PJKITA FC dan FC SWAT manakala kumpulan B pula Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB) FC, UiTM Lioness, SSS Leopard FC, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Sternen FC dan Kelana United.

Perlawanan peringkat berkumpulan diadakan di Radia Arena Bukit Jelutong manakala bagi peringkat kalah mati di Arena Majlis Bandaraya Subang Jaya.


Pengarang :