AGENSISELANGOR

Fenomena air pasang besar di Permatang Sedepa, orang ramai dinasihat waspada

OLEH DIANA ABD WAHAB

SHAH ALAM 23 JAN: Orang ramai dinasihat waspada susulan fenomena air pasang besar yang diramal berlaku di Permatang Sedepa, Kuala Selangor bermula 22 Januari sehingga Khamis.

Pejabat Daerah/Tanah Kuala Selangor memaklumkan paras air di stesen Permatang Sedepa diramal mencecah 4.6 meter pada esok jam 8 malam.

Berdasarkan info grafik yang dikongsi menerusi Facebook, bacaan paras air laut di stesen sama diramal setinggi 4.5 meter pada Rabu dan 4.4 meter (Khamis).

Sementara itu Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) menerusi Facebook memaklumkan pemantauan di Stesen Pandamaran, Klang menunjukkan bacaan paras air adalah 2.05 meter berbanding paras bahaya iaitu 2.20 meter.

Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) semalam mengeluarkan notis kemungkinan banjir kilat di Selangor melibatkan tiga daerah jika hujan lebat berterusan.

Agensi itu menerusi Facebook memaklumkan daerah yang diramal mengalami bencana tersebut ialah Klang, Petaling dan Kuala Selangor.


Pengarang :