Usahawan Hijrah Selangor Mahmud Mastam memberi arnab makan dalam program Kembara Sukses Hijrah Selangor di Jalan Kebun, Shah Alam pada 8 Februari 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENSI SELANGOR

Galak belia ceburi industri agro, Hijrah tawar pembiayaan modal RM50,000

Oleh Diana Abd Wahab

SHAH ALAM, 8 JAN: Usahawan sektor pertanian, penternakan dan akuakultur.yang memerlukan modal pembiayaan disaran memohon Skim i-Agro yang ditawarkan oleh Yayasan Hijrah Selangor (Hijrah).

Agensi tersebut memaklumkan pembiayaan sehingga RM50,000 disediakan bagi membantu usahawan terutama dalam kalangan belia dan siswazah di negeri ini mengembangkan aktiviti perniagaan.

“Pembiayaan Skim i-Agro adalah satu inisiatif baru yang diperkenalkan oleh Hijrah Selangor untuk membantu usahawan di Selangor yang memerlukan modal pembiayaan sehingga RM50,000 untuk mengembangkan aktiviti perniagaan dengan lebih pesat.

“Skim ini diwujudkan oleh Hijrah Selangor bagi membantu dan menggalakkan penglibatan golongan muda atau siswazah dalam industri agro yang merangkumi sektor pertanian, penternakan dan akuakultur,” maklumnya di Facebook.

Skim berkenaan boleh dimohon menerusi http://mikrokredit.selangor.gov.my atau hubungi pegawai pembiayaan di 19 cawangan Hijrah.

Berikut antara syarat kelayakan pemohon:

  • Warganegara Malaysia
  • Penduduk atau pemastautin Selangor
  • Mengundi di Selangor
  • Berumur 18 hingga 65 tahun
  • Perniagaan sudah beroperasi
  • Mempunyai lesen atau permit niaga sah
  • Mempunyai lokasi atau tapak yang khusus
  • Surat perjanjian/dokumen sah melibatkan perniagaan atau aktiviti ekonomi berkonsep agro
  • Terlibat secara langsung dalam perniagaan

Setakat Januari hingga September tahun lalu, seramai 5,795 usahawan menerima manfaat dari tujuh skim pembiayaan perniagaan bernilai RM92.37 juta yang ditawarkan oleh Hijrah.

Selain i-Agro, Hijrah turut menawarkan skim i-Bisnes, Zero to Hero, Niaga Darul Ehsan (NaDI), Go Digital, i-Lestari, dan i-Bermusim.

 

 


Pengarang :