PENDAPATRENCANA

Gemilang karya Ranjau Sepanjang Jalan di pentas antarabangsa

SHAH ALAM, 11 JAN: Novel tulisan Sasterawan Negara, Shahnon Ahmad berjudul Ranjau Sepanjang Jalan yang terbit pertama kali pada 1966 sentiasa dikenang sebagai antara novel penting negara dan meninggalkan kesan mendalam untuk kita memahami pergolakan hidup masyarakat petani.

Mengadaptasi sebuah karya sastera seperti Ranjau Sepanjang Jalan merupakan antara usaha murni untuk sentiasa memastikan karya berkenaan hidup dan dikenang orang.

Di Malaysia usaha adaptasi walaupun kurang dilaksanakan secara serius, khususnya melibatkan karya-karya besar negara, namun kita sekurang-kurangnya lega bahawa novel Shahnon yang ini pernah mengisi ruang adaptasi, bukan sahaja di dalam negara, malah mampu pergi jauh sehingga ke luar negara.

Di Malaysia, Ranjau Sepanjang Jalan diadaptasi oleh pengarah terkenal Jamil Sulong pada 1983 dengan menggunakan judul yang sama dengan novel berkenaan. Di tangan Jamil, Ranjau Sepanjang Jalan menampilkan barisan pelakon hebat seperti Ahmad Mahmud yang memainkan watak Lahuma dan Sarimah sebagai Jeha. Selain itu, M Jamil, Puteri Salbiah, Melissa Saila dan Marlia Musa turut muncul sebagai pelakon dalam filem ini.

Di Festival Filem Malaysia keempat, Ranjau Sepanjang Jalan berjaya merangkul anugerah Filem Terbaik, Lakon Layar Terbaik (Jamil Sulong), Jurukamera Terbaik (Johari Ibrahim) dan Penataan Seni Terbaik (Esa Ahmad dan Noraldin). Penggubah lagu terkenal Ooi Eow Jin pula menerima anugerah khas juri atas lagu tema yang diusahakannya diakui meninggalkan kesan mendalam terhadap penonton.

Pengiktirafan

Selain mencapai kejayaan di peringkat tempatan, filem ini turut menerima pengiktirafan di Festival Filem Asia Pasifik ke-28 bagi kategori cerita luar bandar terbaik. Filem ini juga menerima Official Selection di Festival Filem Antarabangsa Pyongyang ke-3 pada 1992. Selain itu, Ranjau Sepanjang Jalan turut ditayangkan semula di Festival Filem Asia Pasifik ke-44 pada 1999.

Kesukaran hidup petani seperti digambarkan Shahnon dan kekuatan dalam genre melodrama yang dimiliki Jamil Sulong menjadikan filem ini sebagai antara filem yang sering dibincangkan. Namun begitu, disebabkan keberadaannya sukar ditentukan dan tidak dapat untuk ditayangkan semula, maka khazanah penting ini perlahan-lahan tenggelam. Sekarang kita hanya dapat mengingati kepayahan hidup Lahuma dan Jeha hanya melalui gambar-gambar belakang tabir dan membayangkannya melalui tulisan Shahnon sahaja. Diharapkan satu hari nanti, pihak penerbitan filem ini terbuka hati untuk berkongsi kembali filem ini untuk tayangan umum, melalui program apresiasi yang sudah tentu mendekatkan khalayak baharu untuk lebih menghargai Ranjau Sepanjang Jalan.

Namun begitu, selain daripada diadaptasi di dalam negara, filem ini turut menarik perhatian pembikin filem terkenal Kemboja, Rithy Panh yang telah mengadaptasi Ranjau Sepanjang Jalan sebagai sebuah filem berjudul Rice People atau judul dalam bahasa Kemboja, Neak Sre. Filem terbitan 1994 ini mengambil latar kegetiran hidup masyarakat Kemboja ketika era kekejaman Khmer Rouge pimpinan diktator Pol Pot.

Rice People berjaya pergi lebih jauh berbanding Ranjau Sepanjang Jalan apabila ditayangkan di Festival Filem Cannes ke-47 pada 1994. Malah filem ini turut dicalonkan dalam kategori Filem Terbaik bagi merebut piala Palme d’Or.

Untuk rekod, Palme d’Or pada tahun itu menjadi milik filem Pulp Fiction arahan pengarah terkenal Amerika Syarikat, Quentin Tarantino.

Walaupun tidak mencapai kemenangan, namun Rice People dianggap sebagai antara filem terbaik Kemboja dan Asia Tenggara. Lebih membanggakan ialah karya sastera kita menjadi teras kepada pembikinan sebuah filem yang meninggalkan kesan mendalam terhadap arena sinema serantau dan dunia.


Pengarang :