Gerai di kawasan rehat dan rawat (R&R) Elmina akan dijadikan model rujukan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) untuk penjenamaan semula gerai di kawasan pentadbirannya. Foto FACEBOOK MBPJ
PBTSELANGOR

Gerai di kawasan rehat dan rawat Elmina jadi model rujukan MBPJ

Oleh AZIAN AZIZ

SHAH ALAM, 8 JAN: Gerai di kawasan rehat dan rawat (R&R) Elmina akan dijadikan model rujukan untuk penjenamaan semula gerai di kawasan pentadbiran Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).

Menurut kenyataan MBPJ, perkara itu diputuskan hasil lawatan delegasi MBPJ diketuai Datuk Bandarnya, Mohamad Azhan Md Amir ke R&R Elmina arah selatan Rabu lalu.

“Dengan reka bentuk gerai luas, persekitaran mesra alam, kemudahan lengkap, pemilihan operator serta jenis makanan yang tepat menjadikan kawasan R&R Elmina pilihan pengguna lebuh raya untuk berhenti rehat.

“Sehubungan itu, MBPJ akan menjadikan gerai di kawasan tersebut sebagai rujukan sejajar dengan hasrat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mahu setiap pihak berkuasa tempatan (PBT) memastikan gerai serta penjaja kecil perlu bersih dan cantik secara keseluruhan,” katanya menerusi Facebook.

Kedatangan delegasi MBPJ disambut mesra oleh Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prolintas, Datuk Mohammad Azlan Abdullah dan kakitangannya.

Datuk Bandar Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) Mohamad Azhan Md Amir (lima dari kanan) bersama Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prolintas, Datuk Mohammad Azlan Abdullah (enam dari kanan) mengadakan lawatan di kawasan rehat dan rawat (R&R) Elmina arah selatan Rabu lalu. Foto FACEBOOK MBPJ

MBPJ berkata perancangan untuk projek penjenamaan semula gerai di kawasan pentadbirannya akan dimulai dengan binaan gerai di Jalan Cecawi, Kota Damansara.

Kawasan R&R Elmina yang diselenggara oleh Prolintas Expressway Sdn Bhd telah dinaik taraf berkonsepkan ‘Modern Industrial Minimalist’ dan siap pada 2021.

Kawasan rehat dan rawat (R&R) Elmina dinaik taraf berkonsepkan ‘Modern Industrial Minimalist’ yang siap pada 2021. Foto FACEBOOK MBPJ

Antara kerja naik taraf yang dijalankan adalah menambah baik ruang pintu masuk utama, ruang makan, surau dan kawasan sekitar melalui sistem pencahayaan secara semulajadi dan memenuhi ruang sedia ada dengan tumbuhan segar.

Kawasan R&R ini juga dilengkapi kemudahan seperti WiFi, sistem siar raya, kamera litar tertutup serta kawalan keselamatan 24 jam.


Pengarang :