Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berswafoto bersama pelajar Universiti Malaysia Terengganu (UMT) selepas mengadakan pertemuan bersama Ketua Jabatan dan Pegawai Kanan Kerajaan Persekutuan di UMT pada 12 Januari 2023. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Golongan miskin tegar sasaran bantuan Kerajaan Perpaduan, tegas PM

KUALA NERUS, 12 JAN: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan kebajikan golongan miskin terutama miskin tegar akan terus menjadi keutamaan Kerajaan Perpaduan.

Beliau berkata pendekatan berkonsepkan ‘Rahmah’ juga akan terus ditekankan dalam semua program kerajaan di bawah pentadbirannya.

“Soal kebajikan kita panggil program Rahmah. Itu kita akan jadikan tema dalam semua program bantuan rakyat miskin, terutama miskin tegar yang menjadi keutamaan kita dalam pentadbiran kerajaan sekarang,” katanya.

Beliau kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Perjumpaan Bersama Ketua Jabatan dan Pegawai Kanan Persekutuan di Dewan Senat Universiti Malaysia Terengganu, di sini hari ini.

Sehubungan itu Anwar berkata beliau mahu memastikan tumpuan lebih diberikan terhadap projek pendidikan, kesihatan dan kebajikan rakyat termasuk tebatan banjir, berbanding projek-projek besar atau mega.

Anwar juga berkata Kerajaan Persekutuan sentiasa bersikap terbuka untuk bekerjasama dengan semua pihak termasuk kerajaan negeri di bawah pemerintahan blok pembangkang demi kesejahteraan rakyat.

Anwar turut mengingatkan semua pegawai kanan dan ketua jabatan Kerajaan Persekutuan agar meningkatkan usaha dan tahu mengenai keutamaan dalam memberi perkhidmatan kepada rakyat.

Ditanya mengenai Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri, beliau berkata perkara itu masih terlalu awal untuk diputuskan dan ia merupakan urusan di peringkat kerajaan negeri

“Kalau idealnya semua sekali (PRN diadakan serentak di enam negeri). Tetapi ia bukan di bawah bidang kuasa saya,” kata beliau.

Menurut Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN), urusan pembahagian kerusi dalam kalangan pakatan itu untuk PRN termasuk di Terengganu juga masih terlalu awal untuk diputuskan kerana pada masa ini beliau mahu menumpukan perhatian kepada urusan pentadbiran kerajaan.

Malah kata beliau, sesi menghadap Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin di Istana Syarqiyyah di Kuala Terengganu pagi tadi juga tidak menyentuh mengenai PRN. – BERNAMA

 

 


Pengarang :