Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan. Foto BERNAMA
AGENDAJENAYAHNASIONAL

Guru besar hilang wang bantuan awal persekolahan RM109,000, tingkap kereta dipecah

KUALA LUMPUR, 17 JAN: Guru besar kehilangan wang bantuan awal persekolahan berjumlah RM109,000 selepas dilarikan individu yang memecah tingkap kenderaannya, di Semenyih dekat sini semalam.

Ketua Polis Daerah Kajang ACP Mohd Zaid Hassan berkata pihaknya menerima laporan kejadian berkenaan pada 12.17 tengah hari, daripada lelaki berusia 50 tahun itu.

“Siasatan awal polis mendapati mangsa telah mengeluarkan wang berkenaan daripada sebuah bank di Kampung Baru Semenyih jam 10 pagi dan memasukkan di dalam sebuah beg.

“Mangsa kemudian meletakkan beg berkenaan di tempat duduk penumpang hadapan keretanya,” katanya dalam kenyataan.

Mohd Zaid berkata mangsa yang bertugas di sebuah sekolah rendah di Semenyih, kemudian meninggalkan keretanya dan pergi ke kedai makan untuk membeli minuman.

Namun sekembalinya ke kereta, mangsa mendapati tingkap di bahagian kanan penumpang belakang telah dipecahkan dan beg yang berisi wang telah dicuri.

Mohd Zaid berkata usaha mengesan suspek giat dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan dan individu yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu boleh menghubungi balai polis berhampiran.

– BERNAMA


Pengarang :