Guru Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Gading Norshahinaz Mohamad Azinan (kiri) dan pelajar Mior Muhammad Mior Abdul Rahman menerima anugerah guru pembimbing terbaik 2022 dan anugerah ketua pegawai eksekutif terbaik 2022 di Majlis Konvensyen Program Tunas Niaga (PROTUNe) Tahun 2022 di Dewan Aster, Ibu Pejabat PKNS, Shah Alam pada 19 Januari 2023. Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Guru terharu dinobat juara pembimbing terbaik, penat lelah asuh pelajar berniaga terbalas

Oleh DIANA ABD WAHAB

SHAH ALAM, 20 JAN: Penat lelah selama lebih enam tahun berkorban masa dan tenaga sebagai guru penasihat Program Tunas Niaga (PROTUNe) terbayar apabila dinobatkan sebagai juara kategori guru pembimbing terbaik.

Guru Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Gading Norshahinaz Mohammad Azinan yang membimbing pelajar sekolah terbabit mengurus syarikat Aura Gading Sdn Bhd meraih lima lagi anugerah daripada 10 kategori yang dipertandingkan.

“Pengiktirafan ini memberi makna besar kerana SMK Bukit Gading muncul juara bagi lima kategori lain iaitu anugerah persembahan terbaik, laporan kewangan terbaik, ketua pegawai eksekutif terbaik, sekolah terbaik dan syarikat terbaik.

“Kemenangan ini hasil usaha gigih semua guru dan ahli pengurusan syarikat yang sentiasa komited berkorban masa dan tenaga biarpun masing-masing terikat dengan tugasan hakiki. Kejayaan ini berkat sokongan pengetua dan pengurusan sekolah,” katanya pada Majlis Konvensyen PROTUNe ke-24 di sini, semalam.

Guru Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Gading (tiga, kiri) Norshahinaz Mohammad Azinan bergambar bersama pelajar  selepas memenangi lima anugerah terbaik 2022 pada Majlis Konvensyen Program Tunas Niaga (PROTUNe) di Dewan Aster, Ibu Pejabat PKNS, Shah Alam pada 19 Januari 2023. Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/SELANGORKINI

Norshahinaz yang mengajar mata pelajaran Reka Bentuk Teknologi berkata antara faktor kemenangan sekolah itu adalah ahli pengurusan syarikat sangat kreatif, inovatif dan sentiasa mempunyai idea baharu untuk menjana keuntungan syarikat.

Beliau menjelaskan mereka tidak jemu mencari produk sesuai untuk diketengahkan selepas pengetua mengesyorkan agar menukar produk jualan sebelum ini.

“Kita kemudian menjual produk sate kebab yang menjadi jualan terlaris yang mampu meraih keuntungan hingga RM2,000 menerusi jualan antara 500 hingga 1,000 batang sate kebab sehari,” katanya.


Pengarang :