Penunggang motosikal berkuasa tinggi mengalami detik cemas apabila nyaris dihanyutkan arus deras banjir ketika melalui jalan berhampiran Kampung Jemari, Mersing pada 26 Januari 2023. Foto Facebook Best Broker Investment
AGENDANASIONAL

Hampir 14,000 mangsa banjir tiga negeri berlindung di pusat pemindahan

KUALA LUMPUR, 28 JAN: Seramai 13,827 mangsa banjir di tiga negeri terjejas dengan bencana itu kini ditempatkan di 73 pusat pemindahan sementara (PPS) pagi ini.

Di Johor, jumlah mangsa banjir meningkat sedikit kepada 3,480 orang setakat 8 pagi ini, berbanding 3,328 malam tadi dan ditempatkan di 35 PPS di beberapa daerah di negeri berkenaan.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) memaklumkan Mersing kekal dengan jumlah mangsa paling ramai melibatkan 1,792 orang, diikuti Kluang (780), Kota Tinggi (417), Batu Pahat (209), Segamat (115) dan Tangkak (15).

Sementara itu, empat sungai di negeri berkenaan melepasi paras bahaya iaitu Sungai Lenik di Ladang Chaah, Segamat dengan bacaan 5.96 meter (m); Sungai Kahang di Kampung Contoh, Kluang (14.53 m); Sungai Muar di Bukit Kepong, Muar (3.33 m) dan Sungai Endau, Mersing (2.90 m).

Sementara itu di Sabah, jumlah mangsa banjir di negeri itu meningkat sedikit kepada 10,347 orang daripada 3,569 keluarga setakat 8 pagi ini, dan ditempatkan di 34 PPS di enam daerah, berbanding 10,312 mangsa daripada 3,564 keluarga malam tadi.

Sekretariat JPBN dalam kenyataan memaklumkan satu lagi PPS di Lahad Datu dibuka pada 9 malam menempatkan 23 mangsa daripada lima keluarga.

Menurut kenyataan JPBN Sabah, seramai 2,160 orang (795 keluarga) ditempatkan di sembilan PPS di Pitas, manakala 664 orang (187 keluarga) dipindahkan ke sembilan PPS di Paitan.

Di Tawau, 109 orang (24 keluarga) dipindahkan ke sebuah PPS dan di Telupid seramai 21 orang (lima keluarga) berlindung di dua PPS.

JPBN Pahang pula melaporkan jumlah mangsa banjir di Rompin pagi ini kekal 353 orang daripada 106 keluarga dengan empat PPS masih beroperasi iaitu PPS Kampung Setajam menempatkan 165 mangsa, PPS Kampung Rekoh (122), PPS Balai Raya Bukit Lepas (40) dan PPS Balai Raya Kampung Denai (26).

Sungai Keratong di Rompin masih melepasi paras bahaya 23m apabila mencatatkan bacaan 24.36m pagi ini, berbanding 24.45m malam tadi.

Bagaimanapun, paras Sungai Keratong terus menunjukkan trend penurunan, menurut JPBN.

– BERNAMA


Pengarang :