Ahli Dewan Negeri (ADN) Meru Mohd Fakhrulrazi Mohd Mokhtar pada program Jelajah Ehsan Rakyat peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Meru, Klang pada 26 Januari 2023. Foto SUHAILA SHAHRUL ANNUAR/SELANGORKINI
ADNBERITA UTAMASELANGOR

Harap negeri tambah peruntukan, teruskan program Jelajah Ehsan Rakyat

KLANG, 26 JAN: Ahli Dewan Negeri (ADN) Meru berharap Kerajaan Negeri dapat menambah peruntukan dan meneruskan program Jelajah Ehsan Rakyat berikutan sambutan menggalakkan daripada penduduk.

Mohd Fakhrulrazi Mohd Mokhtar berkata ia juga bagi memastikan program berkenaan dapat diperluas supaya lebih ramai mendapat manfaat.

“Kita sendiri sedia maklum masyarakat terbeban dengan kos sara hidup jadi ini salah satu inisiatif Kerajaan Negeri untuk membantu meringankan beban terutama B40 mendapatkan bekalan makanan asas dengan harga yang murah atau di bawah harga pasaran.

“Memang kita ada dapat rungutan sebab barang tidak cukup (dari pengunjung), itu membuktikan ramai rakyat kita yang perlu dibantu.

“Jadi apabila dapat sambutan yang sangat menggalakkan ini kita harap Kerajaan Negeri dapat menambahkan bajet dan teruskan program ini supaya lebih ramai lagi dapat manfaat dan dibantu,” katanya.

Beliau yang ditemui pada program Jelajah Ehsan Rakyat peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Meru di sini berkata pihaknya mencuba sedaya upaya memohon lebih banyak slot daripada Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) untuk penganjuran program itu di DUN berkenaan.

“Sejak dimulakan tahun lepas sudah lebih 15 kali program ini dianjurkan di DUN Meru. Untuk minggu ini sahaja sudah tiga kali di sini.

“Selain itu, pemilihan kawasan juga penting supaya ia mudah diakses dengan kemudahan parkir kenderaan selain bukan kawasan tumpuan warga asing kerana kita memang mahu hanya rakyat Malaysia saja mendapat manfaat ini,” katanya.


Pengarang :