SHAH ALAM, 30 JAN: Yayasan Hijrah Selangor (Hijrah) menyalur modal niaga bernilai RM749.63 juta membabitkan pelbagai skim pembiayaan sejak awal penubuhannya pada 2015.
Pengurus Promosinya Mohd Ridhwan Asmara berkata jumlah itu memanfaatkan seramai 57,492 usahawan seluruh negeri dalam mengembangkan perniagaan masing-masing.
“Kita banyak mengeluarkan modal perniagaan bagi skim i-Bisnes kerana ia antara pembiayaan yang menjadi pilihan usahawan.
“Pengeluaran pembiayaan ini membuktikan Hijrah benar-benar membantu dan dekat dengan usahawan bagi membantu perniagaan mereka,” katanya ketika dihubungi.

Sementara itu, beliau menjangkakan seramai 2,836 usahawan memohon pembiayaan tahun ini membabitkan peruntukan RM50 juta.
Belanjawan Selangor 2023 yang dibentangkan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari pada 25 November lalu memperuntukkan RM130 juta bagi membolehkan Hijrah menambah baik skim serta membantu pembangunan usahawan.
Setakat ini, skim ditawarkan institusi pembiayaan itu kepada usahawan meliputi Zero to Hero, Niaga Darul Ehsan (NaDI), Go Digital, i-Lestari, i-Agro, i-Bermusim dan i-Bisnes.