Skuad hoki lelaki negara menjalani latihan fasa terakhir sebelum menyertai Kejohanan Piala Dunia 2023 di Stadium Hoki Bukit Jalil pada 12 Disember 2022. Kejohanan Piala Dunia 2023 berlangsung mulai 13 hingga 29 Januari di Rourkela, India. Foto BERNAMA
AGENDA SUKANKINI

Hoki Piala Dunia: Malaysia berdepan juara tiga kali Belanda esok

KUALA LUMPUR, 13 JAN: Skuad Speedy Tigers sudah bersedia sepenuhnya dan tekad memberikan cabaran getir kepada juara tiga kali, Belanda, pada aksi pembukaan Kumpulan C Piala Dunia 2023 di Stadium Birsa Munda, Rourkela, India, esok.

Tonggak pertahanan skuad hoki lelaki kebangsaan, Muhammad Razie Abd Rahim, berkatamereka telah melakukan analisis termasuk taktikal yang akan diterapkan di atas padang sewaktu menentang pasukan ketiga terbaik dunia itu.

“Perlawanaan pembukaan sangat penting supaya kita mula dengan baik kerana boleh beri motivasi kami beraksi dengan lebih baik pada perlawanan akan datang.

“Tekanan memang ada setiap perlawanan, jadi kami akan sesuaikan diri dengan tekanan yang akan kami hadapi esok,” katanya dalam video dikongsi Konfederasi Hoki Malaysia, kepada media, hari ini.

Beliau pada masa sama mengingatkan rakan sepasukan agar sentiasa fokus dengan tugas serta tanggungjawab dipikul dalam setiap perlawanan pada Piala Dunia ini.

“So, tak perlu takut dan risau untuk lakukan kesilapan sebab semua orang akan buat silap. Kita bermain, bertahan dan menyerang sebagai satu pasukan…itu yang saya sering ingatkan kepada rakan sepasukan,” katanya.

Muhammad Razie juga berharap agar peminat terus menyokong perjuangan mereka kerana ia sudah pasti mencetuskan inspirasi bagi pasukan kendalian A. Arul Selvaraj itu untuk beraksi dengan baik dalam kejohanan berprestij tersebut.

Selepas aksi menentang Belanda, Malaysia, yang menghuni ranking ke-11 dunia, dijadual berdepan pasukan ke-22 terbaik dunia, Chile. Isnin ini, di venue sama sebelum mengharungi aksi terakhir kumpulan menentang pasukan nombor sembilan dunia, New Zealand di Stadium Kalinga, Bhubaneswar, Khamis depan.

Mengikut format kejohanan, juara kumpulan akan terus mara ke suku akhir, manakala pasukan di tempat kedua dan ketiga akan beraksi menentang pasukan Kumpulan D (England, India, Sepanyol, Wales) pada pusingan kalah mati untuk slot ke suku akhir.

Penyertaan di India bakal menjadi penampilan kesembilan skuad hoki negara di Piala Dunia sejak diperkenalkan pada 1971 dengan pencapaian terbaik adalah meraih tempat keempat pada edisi 1975 ketika Malaysia menjadi tuan rumah.

— BERNAMA

 


Pengarang :