Orang ramai berpayung menunggu giliran untuk membeli barangan keperluan dengan harga yang lebih murah di Program Jelajah Ehsan Rakyat DUN Batu Tiga di Seksyen 24 Shah Alam.pada 21 Januari 2023.Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Hujan tidak halang penduduk beli keperluan di jualan murah PKPS

SHAH ALAM, 21 JAN: Cuaca hujan pagi tadi tidak menghalang penduduk sekitar Seksyen 24 di sini beratur bagi mendapatkan barangan keperluan pada harga lebih murah daripada pasaran menerusi program Jualan Ehsan Rakyat (JER) hari ini.

Ahli Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) Zon 8 Majlis Bandaraya Shah Alam, Siti Nur Aishah Mohd Zain berkata biarpun hujan penduduk tetap menunggu seawal jam 8 pagi dan berteduh di khemah disediakan sementara menunggu giliran masing-masing.

“Kita sediakan empat khemah yang mana tiga daripadanya khusus untuk penduduk serta 80 kerusi bagi kemudahan. Rata-rata mereka tidak kisah walaupun perlu menunggu dalam cuaca hujan untuk membeli keperluan dapur.

“Alhamdulillah, jualan berjalan lancar dengan bantuan enam sukarelawan yang menolong menjaga barisan, mengangkat barang bagi memastikan semua yang hadir berpuas hati,” katanya.

Selain itu, Siti Nur Aishah berkata antara barangan keperluan yang laris dan sering dicari orang ramai ialah ayam, telur dan beras.

“Ayam contohnya, dalam tempoh satu jam hampir 300 ekor sudah terjual. Begitu juga dengan telur yang terhad satu papan kepada setiap pembeli.

“Hebahan program jualan murah ini dibuat menerusi aplikasi WhatsApp kerana orang ramai khususnya warga emas menggunakannya berbanding Facebook,” katanya.

Program jualan murah yang memanfaatkan lebih dua juta penduduk negeri ini diadakan semula bermula 15 Januari hingga Mac dengan 11 lokasi setiap hari berbanding sembilan sebelum ini.

Inisiatif itu menawarkan ayam standard pada harga RM10 seekor, daging pejal (RM10 per pek), telur gred B (RM10 sepapan), ikan kembung atau selayang (RM6 per pek), minyak masak 5kg (RM25) dan beras 5kg (RM10).

 


Pengarang :