Pengunjung membelek naskhah terbitan Inisiatif Buku Darul Ehsan (IBDE) yang dijual di Kedai Buku Rencana di Bandar Sri Damansara, Petaling Jaya pada 7 Januari 2023. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

IBDE rancang terjemah 15 buku, terbit 20 siri kitab karangan Imam al-Ghazali

PETALING JAYA, 7 JAN: Inisiatif Buku Darul Ehsan (IBDE), syarikat penerbitan yang menerima geran Kerajaan Negeri, bakal menterjemah 15 karya termasuk kitab Ihya Ulumuddin tulisan Imam Al Ghazali mulai tahun ini.

Pengarah Eksekutifnya Farhan Affandi menjelaskan kitab karangan ulama tersohor itu bakal diterbitkan dalam 20 siri dan dijangka siap sepenuhnya dalam masa empat tahun.

Katanya, terjemahan juga meliputi antaranya Kimya Al-Saadah karya Abu Hamid Al-Ghazali dan Masalih Al-Anfus (Abu Zayd Al-Balkhi), Risalat Zam al-Lazzati ad-Dunya (Fakhruddin al-Razi), Saidina Umar al-Faruq (Abbas Mahmoud al-Aqqad).

“Terjemahan Ihya Ulumuddin projek terbesar IBDE dan dijangka siap sekitar tahun 2026,” katanya selepas majlis pembukaan kedai jualan IBDE yang disempurnakan Dato’ Menteri Besar Dato’ Amirudin Shari hari ini.

Pengarah Eksekutif Inisiatif Buku Darul Ehsan (IBDE) Farhan Affandi bercakap kepada media ketika ditemuramah di Kedai Buku Rencana di Bandar Sri Damansara, Petaling Jaya pada 7 Januari 2023. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Menerima sokongan kewangan Kerajaan Negeri sejak 2017, Farhan berkata IBDE semakin dikenali, malah karya terbitan mereka mendapat permintaan tinggi.

“Bukan hanya sokongan kewangan, kita juga terima bantuan promosi termasuk aspek pemasaran dari Media Selangor Sdn Bhd.

“Secara tidak langsung, ia membantu meningkatkan jualan. Ketika pandemik, IBDE mampu meraih untung berganda. Dari memiliki tiga pekerja, sekarang berkembang kepada 14 orang,” katanya.

IBDE menerima geran daripada Kerajaan Negeri untuk menjayakan kegiatan penterjemahan buku pelbagai genre antaranya agama, sejarah dan falsafah menerusi projek Siri Pencerahan Selangor.


Pengarang :