Rohana Abdullah (kiri) bersama Chee Hoi Lan atau Laoshi. Laoshi mula menjaga Rohana sejak berusia dua bulan berikutan permit ibunya, yang juga warga Indonesia tamat. Foto ARKIB SELANGORKINI
BERITA UTAMARENCANAWAWANCARA

Iman bawah lindungan bukan Islam

SHAH ALAM, 20 JAN: Kisah Nabi Muhammad SAW dibesarkan bapa saudaranya Abu Talib yang bukan beragama Islam contoh terbaik hubungan erat sesama manusia dalam mewujudkan suasana harmoni tanpa syak wasangka.

Di Malaysia juga ada cerita umat Islam diasuh ibu bukan Islam. Antaranya kisah Rohana Abdullah yang dibesarkan wanita bukan Islam Chee Hoi Lan sejak berusia dua bulan.

Wartawan Amin Ridzuan Ishak menemu bual Rohana yang mengimbau saat bersama ibu angkatnya termasuk dihadiahkan telekung untuk menunaikan solat ketika masih kanak-kanak.


Rohana Abdullah masih ingat pemberian telekung dan tudung pada 16 tahun lalu. Ketika itu, beliau baru mengikuti kelas bimbingan agama di Sekolah Kebangsaan Batu 4, Kuala Lumpur.

Ibu angkatnya Chee Hoi Lan berharap Rohana dapat memperbaiki tahap penguasaan mata pelajaran pendidikan Islam yang agak lemah pada masa itu. Membaca dan menulis jawi pun tidak pandai.

Hoi Lan juga tidak malu-malu bertanya rakan dan guru untuk memenuhi keperluan pembelajaran Rohana. Muqaddam dan al-Quran ada di sekolah, jadi Laoshi menyediakan telekung untuk Rohana belajar solat.

Beliau juga masih ingat Hoi Lan atau mesra dikenali sebagai Laoshi yang bermaksud guru dalam bahasa Mandarin sibuk bertanya rakan-rakannya bagaimana orang Islam menjalani ibadat puasa. Ketika itu, Rohana berusia sembilan tahun, baru mula belajar rukun Islam ketiga itu.

“Laoshi tanya tidak boleh makan dari jam berapa dan bila boleh makan semula. Sebelum ini, beliau tidak tahu pun semua itu.

“Bila waktu hendak buka puasa beliau beli makanan untuk saya, memang jarang masak di rumah sebab hanya kami berdua sahaja tinggal di rumah dan Laoshi pun sibuk jaga tadika,” ujar Rohana.

Laoshi juga menggalakkan Rohana mengikut rakan atau jiran untuk menunaikan solat tarawih di masjid berhampiran rumah mereka di sebuah taman perumahan di Jalan Ipoh, Kuala Lumpur.

Meski Rohana pada waktu itu berusia 10 tahun, Laoshi seboleh-boleh mahu anak angkatnya menikmati kemeriahan sambutan Ramadan dengan beribadat sama seperti kanak-kanak muslim lain.

Ketika sambutan Aidilfitri, Laoshi, seperti kebanyakan ibu bapa umat Islam, sibuk menyediakan pakaian baharu buat Rohana. Lazimnya, baju kurung. Selepas usai solat raya, beliau tidak lupa membeli rendang dan lemang buat menjamu anak angkatnya sebelum melepaskan Rohana menikmati suasana raya dengan menziarahi rumah jiran dan taulan.

“Bila teringat semula perkara itu, ia menyentuh hati saya. Beliau bukan keluarga atau darah daging saya, agama pun berlainan tetapi beliau tekankan saya supaya belajar Islam,” kata Rohana kepada Selangorkini pada 8 Januari.

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan beramah mesra bersama Anugerah Ikon Ibu Sejati Keluarga Malaysia Chee Hoi Lan (berkerusi roda) pada sambutan Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan 1444 Hijrah/ 2023 Masihi di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) pada 9 Oktober 2022. Foto BERNAMA

Hasil pengorbanan Laoshi, Rohana yang kini berusia 23 tahun berasa dirinya tidak berbeza dengan rakan sebaya yang beragama Islam. Meski sekian lama hidup sebumbung dengan insan bukan Islam, Rohana menjalani kehidupan sebagai seorang muslim sama seperti umat Islam lain.

Pesan ibu

Tidur bersama-sama dalam bilik sedari kecil di rumah teres tiga bilik yang sebelumnya menjadi tadika sebelum ditutup pada tahun 2013, Loashi juga kerap berpesan kepada Rohana supaya berpegang teguh kepada ajaran Islam.

“Kami selalu berbual sebelum tidur dan Laoshi selalu berpesan beliau mahu saya mempunyai pegangan agama kuat. Ketika hendak sambung belajar di universiti pun, Laoshi pesan jaga solat,” katanya yang kini melanjutkan pengajian ke Universiti Teknikal Malaysia (UTEM) di Melaka dalam bidang bidang sains komputer.

Rohana mula dijaga Laoshi sejak berusia dua bulan. Ibu kandungnya Salimah Osman, 52, seorang warganegara Indonesia yang bekerja di tadika milik Laoshi manakala bapanya pula penduduk tempatan.

Selepas melahirkan Rohana, Salimah terpaksa kembali ke negara asalnya kerana permit kerja tamat tempoh. Salimah memutuskan untuk menyerahkan anaknya kepada Hoi Lan. Beliau juga sempat berpesan supaya tidak menukarkan agama Rohana dan ingin puterinya kekal sebagai seorang muslim.

Meski Rohana dipelihara Laoshi dengan baik, beliau berdepan masalah tidak mendapat taraf kewarganegaraan Malaysia lantaran kelahirannya tidak didaftar. Malah, beliau terpaksa berhenti sekolah ketika tingkatan empat sebelum mengambil Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM) sebagai calon persendirian.

Namun, Laoshi tidak duduk diam. Beliau berusaha ke sana ke mari bagi membantu Rohana mendapat hak tersebut. Usahanya berbuah hasil apabila masalah berkenaan mendapat perhatian perdana menteri ketika itu Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. Akhirnya, Rohana pada 29 April tahun lalu diiktiraf sebagai warganegara, seterusnya membuka peluang untuknya melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi.

Terima anugerah

Kegigihan mendidik Rohana juga mendapat pengiktirafan apabila Laoshi dipilih sebagai penerima anugerah Ibu Sejati-Keluarga Malaysia sempena sambutan Maulidur Rasul peringkat kebangsaan 2022.

Anugerah itu disampaikan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada 10 Oktober tahun lalu.

“Bagi saya Laoshi layak mendapat anugerah itu kerana keikhlasannya membesarkan saya walaupun kami berlainan agama,” kata Rohana.

Tiap kali sambutan Tahun Baharu Cina pula, Laoshi yang tidak berkahwin membawa Rohana ke rumah abangnya di Damansara yang turut dianggap sebagai keluarga sendiri.

“Saya pun sertai tradisi makan besar. Mereka sediakan makanan halal kerana ada antara ahli keluarganya turut berkahwin dengan orang Islam.

“Dahulu ketika masih kecil, Laoshi pun ada juga belikan cheongsam untuk saya supaya sedondon dengan anak saudaranya lain,” ceritanya.

Kini, usia Laoshi menginjak 84 tahun. Warga emas itu mula mengalami masalah kesihatan. Bulan lalu, beliau disahkan nyanyuk. Rohana pula masih belajar di Melaka. Berjauhan dengan Laoshi kerap membuat Rohana risau. Lebih-lebih lagi, ibu angkatnya mula tidak kenal orang sekeliling. Mujur ahli keluarga dan jiran kerap menjenguknya setiap hari.

Rohana juga ingat kenangan menyambut hari jadi bersama Laoshi.

Jauh di sudut hati Rohana, beliau berharap Laoshi masih mengingati tiap kenangan mereka hidup bersama lebih 20 tahun lamanya. Sepanjang bersama Laoshi, ibu angkatnya itu tidak pernah lupa tarikh hari lahirnya tiap tanggal 27 November. Mereka pasti menyambutnya bersama-sama biarpun secara kecil-kecilan di rumah. Laoshi juga tidak pernah lupa menyediakan kek hari jadinya.

Paling dirindui Rohana, saat mereka berbual-bual hati ke hati, daripada soal remeh-temeh hingga perkara serius sebelum masuk tidur. Terbayang-bayang juga di mata Rohana saat mereka bergelak tawa, juga teguran bersulam nasihat yang tidak pernah putus-putus.

“Saya sayang dan terhutang budi dengan Laoshi. Kalau diberi kesempatan saya mahu membalas kembali segala jasanya,” katanya.

 


Pengarang :