Pembinaan Rumah Selangorku menjadi keutamaan Kerajaan Negeri bagi memastikan rakyat negeri ini berpeluang memiliki kediaman sendiri. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONALPILIHAN MINGGUAN

Insentif sewa, deposit mudahkan rakyat miliki rumah sendiri

SHAH ALAM, 18 JAN: Insentif sewa dan deposit rumah yang ditawarkan Kerajaan Selangor membantu rakyat negeri ini memiliki kediaman sendiri pada harga mampu milik.

Antara yang ditawarkan ialah Skim Smart Sewa, yang membolehkan penghuni menyewa antara dua hingga lima tahun sebelum membeli kediaman tersebut, kata Dato’ Menteri Besar.

Menurut Dato’ Seri Amirudin Shari, penghuni yang berminat untuk memiliki unit berkenaan juga akan menerima semula 30 peratus daripada keseluruhan sewa yang dibayar.

“Selain itu, Skim Bantuan Biaya Rumah Selangor juga menyediakan pembiayaan untuk membantu pemilik menyelesaikan cabaran deposit rumah agar boleh digunakan untuk menampung kos sewa rumah sedia ada sementara menunggu siap pembinaan dan pembelian perabot asas,” katanya di Facebook.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari (tengah) bergambar bersama pemilik selepas menyerahkan simbolik Rumah Selangorku Kemuning Idaman di Klang pada 13 Januari 2023. Foto ihsan pejabat Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (SUK)

Dalam pada itu, Amirudin berkata Kerajaan Negeri meluluskan pembinaan 221,671 unit rumah mampu milik bagi membolehkan seramai mungkin rakyat negeri ini memiliki kediaman sendiri.

“Bukan sahaja membina rumah mampu milik yang berkualiti, malah menyediakan instrumen memiliki rumah yang memudahkan pembelian,” katanya lagi.

Rumah Selangorku dibangunkan lebih sedekad lalu di pelbagai kawasan bertujuan membantu penduduk negeri ini membeli rumah pada harga berpatutan.

Minggu lalu, Dato’ Menteri Besar menyerahkan kunci dan surat tawaran kepada pembeli serta penyewa Rumah Selangorku Kemuning Idaman di Klang.


Pengarang :