Pengarah Jabatan Kesihatan Selangor, Dato’ Dr Sha’ari Ngadiman bercakap kepada media selepas sesi pendengaran awam penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) di Perpustakaan Raja Tun Uda, Shah Alam pada 1 Jun 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDA NASIONAL SELANGOR

Jabatan Kesihatan Selangor kesan 132 produk makanan tamat tarikh luput

SHAH ALAM, 20 JAN: Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) mengesan 132 produk makanan tamat tarikh luput yang masih dipamer untuk dijual menerusi Operasi Keselamatan Makanan bersempena Tahun Baharu Cina yang dilaksanakan pada 9 hingga 13 Januari lepas.

Pengarah Kesihatan negeri Datuk Dr Sha’ari Ngadiman berkata operasi oleh Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) peringkat negeri bersama-sama pejabat kesihatan daerah (PKD) ke atas 43 premis itu turut mengesan 1,415 produk yang mempunyai bungkusan rosak seperti tin kemik, berkarat serta kembung.

“Kesemua produk makanan bernilai RM6,872.68 itu telah diarah dialihkan daripada rak pameran jualan bagi disita di bawah Seksyen 4(1)(f) Akta Makanan 1983 dan persetujuan pelupusan mengikut Seksyen 4(8) akta sama.

“Lima notis 32B iaitu kesalahan di bawah Peraturan 11(1)(j) dan Peraturan 14(9)(b) Peraturan-Peraturan Makanan 1985 telah dikeluarkan semasa operasi ini. Nilai kompaun yang ditawarkan adalah RM20,000,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Dr Sha’ari berkata sebanyak 33 pensampelan buah limau mandarin telah diambil dan dihantar ke Jabatan Kimia bagi analisis parameter racun perosak iaitu organophosphorus (OP), organochlorine (OC) dan synthetic pyrethroids (SP).

“Tindakan pendakwaan di mahkamah akan diambil sekiranya keputusan analisis menunjukkan ada perlanggaran residu racun perosak mengikut Peraturan 41 Peraturan-Peraturan Makanan 1985.

“Di samping itu, satu perintah penutupan stor premis sebuah pasar raya selama 14 hari telah dilakukan di bawah Seksyen 11 Akta Makanan 1983 kerana premis tersebut didapati tidak bersih,” katanya.

Dr Sha’ari meminta orang ramai supaya sentiasa peka terhadap status keselamatan dan kualiti makanan yang dijual dan menyeru pengusaha pasar raya, pasar mini serta kedai runcit seluruh Selangor untuk sentiasa memastikan produk makanan yang dijual mematuhi segala keperluan perundangan seperti yang termaktub dalam Akta Makanan 1983 dan peraturan-peraturan di bawahnya.

– BERNAMA


Pengarang :