Pegawai dan penguatkuasaan farmasi (CPF) Jabatan Kesihatan Negeri Selangor merampas puluhan kotak kosmetik yang tidak mempamerkan nombor notifikasi daripada Kementerian Kesihatan (KKM) di sebuah premis perniagaan baru-baru ini. Foto Facebook Jabatan Kesihatan Negeri Selangor
AGENSISELANGOR

Jabatan Kesihatan Selangor rampas kosmetik tiada notifikasi KKM bernilai RM58,000

SHAH ALAM, 11 JAN: Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) merampas puluhan kotak kosmetik yang tidak mempamerkan nombor notifikasi daripada Kementerian Kesihatan (KKM) bernilai RM58,000 di sebuah premis perniagaan, di sini pada minggu lepas.

Pengarahnya, Datuk Dr Sha’ari Ngadiman berkata rampasan itu dibuat hasil serbuan oleh Cawangan Penguatkuasaan Farmasi (CPF) JKNS di premis terbabit.

Katanya, serbuan itu dilaksanakan selepas pihaknya menerima maklumat daripada orang ramai tentang perniagaan pengeluaran kosmetik yang disyaki tidak bernotifikasi dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) KKM.

Sha’ari berkata modus operandi sindiket berkenaan ialah memasarkan keluaran kosmetik tidak bernotifikasi itu melalui laman sesawang yang mempromosi kosmetik untuk tujuan pemulihan dan antipenuaan kulit tanpa merujuk kepada pengamal perubatan berdaftar yang dikhuatiri akan mengakibatkan kesan sampingan buruk dan membahayakan kesihatan orang ramai.

“Kes akan disiasat di bawah Akta Jualan Dadah 1952 dan jika sabit kesalahan, pihak yang berkaitan boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM50,000 di bawah akta yang sama.

“Sehubungan itu, JKNS menasihati orang ramai supaya sentiasa berhati-hati sewaktu membeli sebarang keluaran kesihatan dan kosmetik yang dijual dan memastikannya berdaftar dengan PBKD KKM,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, Dr Sha’ari menasihati orang ramai agar mengemukakan aduan dan menyalurkan maklumat berkenaan produk yang meragukan sebagai usaha bersama pihak kementerian untuk membanteras penjualan produk kesihatan yang tidak dibenarkan bagi melindungi kesihatan dan kesejahteraan orang awam. – BERNAMA


Pengarang :