Kenderaan yang membawa petugas Kementerian Kesihatan Malaysia memasuki Penjara Reman Pulau Pinang pada 9 Oktober 2020. Foto BERNAMA
AGENDA NASIONAL

Jabatan Penjara benar lawatan keluarga sempena perayaan Tahun Baru Cina

KUALA LUMPUR, 13 JAN: Keluarga kepada penghuni penjara termasuk Pusat Pemulihan Akhlak, Pusat Pemulihan Khas, Tempat Tahanan Khas dan Sekolah Henry Gurney dibenar melawat sempena sambutan Perayaan Tahun Baru Cina.

Jabatan Penjara dalam kenyataan hari ini memaklumkan keutamaan lawatan diberi kepada penghuni kaum Cina sahaja yang ditetapkan pada 24 dan 25 Januari manakala kaedah perjumpaan secara dalam talian bermula pada 26 hingga 28 Januari.

“Keluarga yang memilih kaedah bersemuka perlu mematuhi syarat-syarat berikut seperti waktu lawatan yang bermula dari 8.15 pagi hingga 4.15 petang.

“Mereka juga perlu membuat ujian RT-PCR atau ARTK-Ag (swab/saliva) dalam sah laku tiga hari selepas pengambilan sampel dan tidak bergejala sebelum hadir ke institusi berkenaan,” menurut kenyataan itu.

Selain itu, pelawat diminta membawa kad lawatan dan kad pengenalan bagi memudahkan urusan serta tidak dibenarkan membawa sebarang makanan dan minuman kepada penghuni.

Dalam pada itu, seorang penghuni penjara hanya dibenarkan untuk menerima sekali sahaja lawatan daripada keluarga dan lawatan perjumpaan hanya dibenarkan kepada pelawat yang membuat janji temu.

“Terdapat tiga kaedah tempahan janji temu iaitu melalui sistem i-Visit menerusi laman web www.prison.gov.my, panggilan telefon di institusi berkenaan dan e-mel atau surat ke institusi berkenaan,” menurut kenyataan itu.

– BERNAMA


Pengarang :