AGENSISELANGOR

Jais nafi lantik pihak luar jadi orang tengah infaq telekung

SHAH ALAM, 28 JAN: Maahad Integrasi Tahfiz Selangor (MITS) Pandan Indah tidak pernah melantik pembekal telekung Annisa sebagai orang tengah bagi tujuan sumbangan telekung.

Menurut Jabatan Agama Islam Selangor (Jais), pusat tahfiz itu tidak pernah memohon atau mengeluar kebenaran kepada mana-mana pihak memberikan infaq telekung kepada pelajar atau kakitangan sekolah.

“MITS Pandan Indah juga tidak menerima sebarang permohonan daripada pihak Annisa untuk tujuan itu,” katanya menerusi kenyataan.

Sehubungan itu, satu laporan polis terhadap pembekal terbabit kerana menggunakan nama pusat tahfiz berkenaan tanpa izin dan tanpa mengetahui tujuan asal.

“Jais mengingatkan orang ramai agar lebih berhati-hati dan tidak mudah terpedaya dengan poster yang menggunakan nama jabatan atau agensi untuk tujuan melibatkan wang,” katanya.

Sebelum ini tular di media sosial poster mengenai infaq telekung oleh Annisa kepada MITS Pandan Indah.


Pengarang :