Peserta menghadiri temu duga program Jelajah JobCare Selangor di Dewan Taman Gombak, Gombak 4 Jun 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Jelajah JobCare diteruskan tahun ini, lebih banyak syarikat tawar kerja pelbagai sektor

SHAH ALAM, 28 JAN: Jelajah Jaminan Kerja (JobCare) bakal diteruskan tahun ini untuk terus membantu rakyat mendapat pekerjaan, kata EXCO pemberdayaan pekerja.

V Ganabatirau berkata penganjuran pada tahun ini akan melibatkan lebih banyak syarikat yang mampu menawarkan pekerjaan dalam pelbagai sektor.

“Kita akan terus bekerjasama dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan beberapa syarikat untuk memberi peluang kepada orang ramai memperoleh pekerjaan dalam bidang tertentu.

“Minggu depan kita akan panggil Unit Pemberdayaan Pekerja Selangor (UPPS) dan Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) untuk menyusun jelajah ini,” katanya ketika dihubungi.

EXCO Pemberdayaan Pekerja V Ganabatirau (tengah) melawat kaunter syarikat yang menyertai Jelajah Jobcare anjuran Unit Pemberdayaan Pekerja Selangor (UPPS) dan Perdasama di Tanjung Karang pada 11 Jun 2022. Foto Facebook UPPS

Jelajah JobCare adalah inisiatif Kerajaan Selangor bagi membantu golongan berkemahiran rendah, sederhana dan tinggi yang hilang pendapatan akibat pandemik Covid-19 memperoleh pekerjaan.

Tahun lalu, Jelajah JobCare yang merupakan inisiatif Unit Pemberdayaan Pekerja Selangor (UPPS) diadakan di sembilan daerah bermula 26 Februari dimulakan di daerah Klang.

Program dengan kerjasama Perkeso disertai lebih 15 syarikat tempatan dan menawarkan hampir 3,000 peluang kerja dalam pelbagai sektor.


Pengarang :