EXCO Pelaburan Dato’ Teng Chang Khim dan Ketua Pegawai Eksekutif Sidec Yong Kai Ping (tengah) bersama pemain industri ketika perasmian program Jelajah Usahawan Digital Selangor siri 5 anjuran Perbadanan Teknologi Maklumat dan Ekonomi Digital Selangor (Sidec) di Hotel Crystal Crown, Pelabuhan Klang, Klang pada 10 Disember 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Jelajah usahawan digital 2023 bermula Mac, sasar 300 peserta setiap lokasi

SHAH ALAM, 3 JAN: Jelajah Usahawan Digital Selangor kendalian Perbadanan Teknologi Maklumat Ekonomi Digital Selangor (Sidec) diteruskan lagi tahun ini dengan sasaran 300 peserta setiap lokasi.

EXCO Pelaburan Dato’ Teng Chang Khim berkata siri pertama jelajah yang mendedahkan usahawan dengan perniagaan digital dijangka bermula pada Mac.

“Kita akan meneruskan jelajah ini kerana mendapat sambutan menggalakkan tahun lalu apabila setiap kawasan merekodkan kehadiran antara 200 hingga 300 orang terdiri daripada pelbagai peringkat umur, kaum dan tahap pendidikan.

“Jika tahun lalu lima lokasi dijelajah, kali ini akan pergi ke daerah lain yang kita belum sampai. Jelajah kemungkinan besar bermula Mac memandangkan kita kesuntukan masa pada Februari,” katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata pembabitan ramai peserta dalam siri jelajah di Gombak, Hulu Selangor, Petaling, Kuala Selangor dan Klang tahun lalu membuktikan kesungguhan mereka untuk menceburi bidang perniagaan.

“Masyarakat secara keseluruhannya amat berminat untuk menjadi usahawan, namun mereka memerlukan tunjuk ajar dan ilmu yang baharu khususnya melibatkan teknologi.

“Mereka perlu didedahkan kepada pendigitalan bagi memudahkan mereka menjual produk atau menawarkan perkhidmatan secara dalam talian,” katanya.

Tahun lalu, Jelajah Usahawan Digital Selangor menjelajah ke Gombak, Hulu Selangor, Petaling, Kuala Selangor dan Klang.

Jelajah itu membawa rakan kongsi daripada pemain industri seperti Shopee, Lazada, Touch ‘n Go e-Dompet, Hijrah Selangor, Epic Unicorn, TikTok Shop, Grab dan Sprii Commerce.


Pengarang :