Orang ramai beratur bagi membeli barangan keperluan asas murah menerusi program Jelajah Ehsan Rakyat DUN Sungai Tua di Selayang Baru, Gombak pada 25 Januari 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Jimat belanja dapur, suri rumah kunjungi jualan murah PKPS kali ketujuh

Oleh AZIAN AZIZ

GOMBAK, 26 JAN: Walaupun sibuk menguruskan anak yang bersekolah, seorang suri rumah tidak melepaskan peluang ke program Jelajah Ehsan Rakyat (JER) untuk membeli barangan asas.

Norazizah Mat Ripin, 49, ini adalah kali ketujuh beliau membeli barangan murah yang ditawarkan Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS).

Norazizah Mat Ripin

“Sejak tahun lalu, saya memang curi masa untuk pergi ke jualan murah tetapi saya akan pilih lokasi yang dekat dengan rumah sebab takut terlambat sampai nanti tak dapat beli barangan seperti telur dan ayam.

“Hari ni pun saya sampai selepas pukul 7.30 pagi dah ramai yang beratur. Syukur saya dapat beli semua barangan yang ditawarkan dan dapat jimat banyak duit belanja dapur,” kata ibu enam anak pada program peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Tua semalam.

Sementara itu, pesara M Subramaniam, 71, berkata beliau hanya membelanjakan RM65 untuk membeli sepapan telur, seekor ayam, sebotol minyak dan dua kampit beras.

M Subramaniam

“Memang jimat kerana kalau beli di pasar raya wang yang dibelanjakan pasti mencecah RM100.

“Kalau boleh saya mohon Kerajaan Negeri teruskan jualan murah sehingga harga barang kembali pulih kerana dapat bantu golongan seperti saya dan mereka yang kurang mampu,” katanya yang sudah tiga kali ke jualan tersebut.

Imarni Usman

Bagi Imarni Usman, 65, dari Kampung Mahkota, Sungai Tua, jualan murah berkenaan perlu diteruskan kerana banyak membantu rakyat.

“Walaupun pertama kali datang ke jualan murah, rakan-rakan dan jiran yang selalu pergi memberitahu mereka lega kerana dapat membeli barangan seperti ayam, beras dan telur setiap minggu kerana adanya jualan murah.

“Kalau tidak ramai mengeluh kerana harga barang sekarang semakin mahal,” kata tukang urut itu yang membelanjakan RM30 untuk membeli beras, telur dan ayam.


Pengarang :