Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Selangor Datuk Khairul Yahya (dua, kanan) beramah mesra bersama penumpang bas ekspres sempena Operasi Tahun Baharu Cina 2023 di Terminal Bas Sesyen 17, Shah Alam pada 18 Januari 2023. Foto BERNAMA
AGENDANASIONALSELANGOR

JPJ Selangor fokus 23 kawasan kerap kemalangan sepanjang Op Tahun Baharu Cina

SHAH ALAM, 19 JAN: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor akan memfokuskan penguatkuasaan di 23 kawasan yang dikenal pasti kerap berlaku kemalangan di negeri itu sepanjang Operasi Tahun Baharu Cina (Op TBC).

Pengarahnya Datuk Khairul Khar Yahya berkata antara lokasi yang dikenal pasti kerap berlaku kemalangan ialah Lebuhraya Utara Selatan (Plus), Lebuhraya Selat Klang Utara, Lebuhraya Damansara Puchong (LDP), Jalan Meru dan Jalan Bukit Kemuning.

Beliau berkata operasi penguatkuasaan yang bermula semalam hingga 27 Januari itu akan melibatkan 325 anggota JPJ.

“Penguatkuasaan dalam operasi ini memfokuskan sembilan kesalahan utama dan lima kesalahan tambahan termasuk memandu melebihi had laju, gagal mematuhi lampu isyarat, memotong barisan, memandu di lorong kecemasan dan memandu secara berbahaya,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Op TBC di Terminal 17, Seksyen 17, di sini malam tadi.

Selain itu, Khairul Khar berkata antara aktiviti penguatkuasaan lain yang dijalankan ialah melakukan penyamaran sebagai penumbang bas, pemeriksaan terminal serta depoh bas, penguatkuasaan khas motosikal, pengurusan aduan dan advokasi.

“Hasil penyamaran sebelum ini mendapati ada pemandu bas yang merokok, tidak memakai kasut dan menggunakan telefon bimbit semasa memandu, malah kita juga pernah mengesan pemandu bas yang bermain ‘games’ semasa memandu. Perbuatan itu amat berbahaya dan boleh mengakibatkan kemalangan,” katanya.

Menurutnya orang awam boleh membuat sebarang aduan berkaitan dengan menghubungi JPJ Selangor di talian 03-55669442 atau emel [email protected] .

– BERNAMA


Pengarang :