Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan & Operasi) Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Aedy Fadly Ramli memberi nasihat kepada pemandu bas ketika Ops Bersepadu dan Kempen Advokasi Keselamatan Jalan Raya sempena Perayaan Tahun Baharu Cina 2023 di Terminal Bersepadu Selatan (TBS), Kuala Lumpur pada 20 Januari 2023. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

JPJ sita kenderaan barangan ingkar perintah larangan pemanduan

KUALA LUMPUR, 20 JAN: Kenderaan barangan yang ingkar Perintah Larangan Pemanduan Kenderaan Barangan yang berkuat kuasa hari ini sempena Tahun Baharu Cina akan disita.

Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan dan Operasi) Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Aedy Fadly Ramli berkata tindakan itu adalah selaras dengan Seksyen 64 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Dengan kerjasama Lembaga Lebuhraya Malaysia dan syarikat konsesi lebuh raya, JPJ akan membuat pemantauan terhadap kenderaan barangan selaras peraturan ditetapkan Kementerian Pengangkutan.

“Sekiranya didapati ada kenderaan barangan muatan berat berada di jalan raya atau lebuh raya pada waktu yang tidak dibenarkan, tindakan sewajarnya termasuk sita akan diambil,” katanya pada sidang media Op Bersepadu dan Kempen Advokasi Keselamatan Jalan Raya bersempena Tahun Baharu Cina di Terminal Bersepadu Selatan di sini hari ini.

Perintah itu berkuat kuasa dua hari sebelum perayaan iaitu 20 dan 21 Januari serta dua hari selepas perayaan iaitu pada 24 dan 25 Januari bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas.

Mengulas kemalangan treler yang meragut dua nyawa di Lebuhraya Utara Selatan (Plus) arah selatan berhampiran susur masuk Plaza Tol Seremban-Port Dickson pagi tadi, Aedy Fadly berkata perkara itu dalam semakan pihaknya.

“Kami akan membuat semakan terperinci berkenaan treler itu cuma sekarang belum ada maklumat. Untuk makluman, treler yang membawa barangan keperluan asas masuk dalam kategori dua iaitu ia dibenarkan beroperasi dari pelabuhan ke gudang-gudang atau kawasan industri dalam waktu tertentu.

“Untuk kategori ini juga, ia tidak dibenarkan beroperasi dari 12 tengah malam hingga 8 pagi. Selepas 8 pagi, ia dibenarkan berada di jalan atau lebuh raya,” katanya.

Insiden itu menyaksikan pemandu dan penumpang treler rentung akibat tersepit selepas kenderaan dinaiki terlanggar penghadang jalan sebelum terbakar di Kilometer 259.6 Lebuhraya Plus arah selatan.

– BERNAMA


Pengarang :