Ahli Dewan Negeri (ADN) Morib Hasnul Baharuddin menyapa orang ramai pada program Jelajah Ehsan Rakyat peringkat DUN Morib di Taman Sri Desa, Kuala Langat pada 21 Januari 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
ADNSELANGOR

Jualan murah dapat sambutan, wakil rakyat Morib cadang anjur sekali seminggu

KUALA LANGAT, 21 JAN: Ahli Dewan Negeri (ADN) Morib mencadangkan program Jelajah Ehsan Rakyat diadakan lebih kerap susulan sambutan menggalakkan oleh penduduk di sekitar kawasan tersebut.

Hasnul Baharuddin berkata pengendali program Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) diharap mempertimbangkan cadangan untuk mengadakan jualan murah barangan asas sekali seminggu.

“Hari ini adalah program pertama Jelajah Ehsan Rakyat tahun ini di Dewan Undangan Negeri (DUN) Morib. Kita cuba dapatkan slot setiap minggu atau paling kurang dua minggu sekali.

“Saya sudah minta Ketua Kampung untuk menghebahkan program dan menentukan tempat. Slot ini bergantung kepada kekosongan pihak PKPS. Hari biasa mudah dapat giliran kalau hujung minggu agak terhad,” katanya.

Petugas menyusun pelbagai barangan asas yang dijual murah berbanding harga pasaran menerusi program Jelajah Ehsan Rakyat peringkat DUN Morib di Taman Sri Desa, Kuala Langat pada 21 Januari 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

Ditemui pada program Jelajah Ehsan Rakyat DUN Morib di Jalan Desa 4, Taman Sri Desa, hari ini, Hasnul berkata program itu membantu rakyat mendapatkan bekalan makanan asas pada harga yang disubsidi.

“Kita harap program ini dapat diteruskan kerana dapat sambutan yang amat menggalakkan walaupun hebahan tidak sampai seminggu.

“Di sini, kita boleh lihat hampir 100 peratus yang datang biasanya daripada golongan B40, mereka memang menanti-nanti untuk membeli barangan keperluan seperti ini,” katanya.

Inisiatif jualan murah tersebut menawarkan ayam standard (RM10 seekor), telur ayam gred B (RM10 sepapan), daging pejal segar (RM10 per pek), minyak masak 5kg (RM25), beras 5kg (RM10) dan ikan (RM6 per pek).

Orang ramai membeli barangan asas yang dijual murah berbanding harga pasaran menerusi program Jelajah Ehsan Rakyat peringkat DUN Morib di Taman Sri Desa, Kuala Langat pada 21 Januari 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI


Pengarang :