Orang ramai beratur untuk membeli barangan murah Jelajah Ehsan Rakyat (JER) di Puteri Central Park, Bandar Tasik Puteri, Kuang, Selayang pada 17 Januari 2023. Foto AZIAN AZIZ/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Jualan murah DUN Kuang tumpu kawasan flat sekitar Bandar Tasik Puteri

Oleh Azian Aziz

SELAYANG, 17 JAN: Program Jelajah Ehsan Rakyat (JER) peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuang menumpukan kawasan flat kos rendah dan sederhana di sekitar Bandar Tasik Puteri.

Penyelaras DUN Kuang Salasiah Disa berkata terdapat permintaan tinggi terutama daripada suri rumah yang menetap di flat kos rendah supaya jualan murah diadakan lebih kerap di kawasan perumahan tersebut.

Penyelaras DUN Kuang Salasiah Disa. Foto AZIAN AZIZ/SELANGORKINI

“Kita ada 10 kawasan flat kos rendah di Bandar Tasik Puteri antaranya Sandalwood, Pinewood, Maplewood dan lain-lain yang penduduknya mencecah 20,000 orang.

“Kaum ibu terutama suri rumah di kawasan ini meminta kepada saya agar JER dibuat di kawasan rumah mereka. Ini untuk memudahkan datang membeli barangan murah kerana sebahagian besarnya ada anak kecil atau menjaga anak orang. Jadi, kalau jauh susah mereka hendak keluar,” katanya.

Beliau ditemui SelangorKini di program jualan murah di Puteri Central Park, Bandar Tasik Puteri, Kuang hari ini.

Menurut Salasiah, beliau ada memohon kepada Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) untuk mengadakan JER sebanyak tiga kali seminggu agar penduduk di DUN Kuang berpeluang membeli barangan murah dan berkualiti.

Pada tahun lalu, kira-kira 10,000 keluarga di DUN Kuang menerima manfaat program JER 2022 yang dijalankan secara berjadual sejak 6 September hingga 6 Disember lalu.

Sebanyak 39 kali jualan murah telah diadakan di DUN Kuang dalam tempoh tersebut.

JER menawarkan pelbagai barangan murah seperti ayam standard (RM10 seekor), daging pejal segar (RM10 per pek), telur gred B (RM10 sepapan), ikan kembung (RM6 per pek), minyak masak (RM25 sebotol) dan beras lima kilogram (RM10).


Pengarang :