Orang ramai beratur bagi membeli barangan keperluan asas murah menerusi program Jelajah Ehsan Rakyat DUN Sungai Tua di Selayang Baru, Gombak pada 25 Januari 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Jualan murah DUN Sungai Tua sasar kawasan padat penduduk

GOMBAK, 25 JAN: Program Jelajah Ehsan Rakyat (JER) peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Tua menyasarkan kawasan padat penduduk termasuk flat kos rendah.

Pengurus Pusat Khidmat DUN Sungai Tua berkata sasaran itu sama seperti tahun lalu kerana sambutan penduduk daripada golongan berpendapatan rendah (B40) begitu menggalakkan.

“Kalau kita buat jualan murah di kawasan-kawasan ‘hotspot’ ini barangan pasti habis dan yang paling ramai datang membeli ialah suri rumah dan warga emas.

“Kita menjangkakan setiap kali jualan murah akan beri manfaat kepada hampir 500 keluarga dan sehingga Mac ini sasaran keluarga yang mendapat manfaat di DUN Sungai Tua ialah lebih 10,000 keluarga,” kata Maimon Misman.

Pengurus Pusat Khidmat DUN Sungai Tua Maimon Misman

Beliau ditemui pada program berkenaan di hadapan Balai Polis Selayang hari ini. Ini adalah kali kedua program JER diadakan di DUN terbabit untuk tahun ini.

Maimon juga meminta Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) menimbang untuk menambah jumlah telur daripada 300 papan kepada 500 pada program seterusnya.

“Pembeli ramai yang mengadu tak dapat beli telur kerana jualan hanya terhad kepada 300 papan sahaja. Jadi kita minta PKPS pertimbangkan untuk tambah jumlah telur yang permintaannya begitu tinggi,” katanya.

Inisiatif jualan murah kendalian PKPS diteruskan sejak 16 Januari hingga Mac ini dengan menawarkan produk seperti ayam standard (RM10 seekor), telur ayam gred B (RM10 sepapan), daging pejal segar (RM10 per pek), minyak masak 5kg (RM25), beras 5kg (RM10) dan ikan (RM6 per pek).

Jualan itu berjaya memanfaatkan lebih dua juta penduduk Selangor melalui siri jelajah di 693 lokasi sekitar 56 DUN.


Pengarang :