Orang ramai tidak melepaskan peluang membeli barangan asas yang dijual murah berbanding harga pasaran dalam program Jelajah Ehsan Rakyat peringkat DUN Taman Templer di Pangsapuri Merak, Selayang pada 26 Januari 2023. Foto SHAMZ JOHAN/SELANGORKINI
ADNSELANGOR

Jualan murah manfaatkan hampir 400 penduduk sekitar Pangsapuri Merak, Selayang

Oleh Shamz Johan

GOMBAK, 26 JAN: Hampir 400 penduduk menerima manfaat menerusi program Jelajah Ehsan Rakyat (JER) yang diadakan di Pangsapuri Merak, Selayang hari ini.

Pegawai Pusat Khidmat Masyarakat DUN Taman Templer Rosli Kamaruddin berkata program jualan murah itu antara insiatif Kerajaan Negeri untuk meringankan beban orang ramai.

“Hari ini hampir 400 orang hadir dan program ini akan diadakan dari semasa ke semasa. Kita sasar lebih 2,000 penduduk sekitar pangsapuri ini menerima manfaat jualan murah barangan asas.

“Sasaran tersebut mengambil kira keperluan penduduk yang masih terbeban dengan kenaikan kos sara hidup makin tinggi.

“Contohnya hari ini, mereka (pengunjung) sudah beratur seawal jam 8 pagi, malah ada yang menaiki bas berkunjung ke sini,” katanya ketika ditemui Selangorkini.

Rosli berkata rata-rata pengunjung mahu jualan murah tersebut diteruskan serta ditambah baik dengan mempelbagaikan jenis barangan.

“Kita harap Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) mempertimbangkan permintaan orang ramai yang mahu jualan diadakan secara kerap dan mempelbagaikan barangan jualan,” katanya.

Inisiatif jualan murah kendalian PKPS diteruskan sejak 16 Januari hingga Mac ini dengan menawarkan produk seperti ayam standard (RM10 seekor), telur ayam gred B (RM10 sepapan), daging pejal segar (RM10 per pek), minyak masak 5kg (RM25), beras 5kg (RM10) dan ikan (RM6 per pek).

Jualan itu berjaya memanfaatkan lebih dua juta penduduk Selangor melalui siri jelajah di 693 lokasi sekitar 56 DUN.

Orang ramai tidak melepaskan peluang membeli barangan asas yang dijual murah berbanding harga pasaran dalam program Jelajah Ehsan Rakyat peringkat DUN Taman Templer di Pangsapuri Merak, Selayang pada 26 Januari 2023. Foto SHAMZ JOHAN/SELANGORKINI

 


Pengarang :