Peniaga pasar pagi Wee Leong Seong, 59 membeli barangan keperluan asas yang dijual murah berbanding harga pasaran pada program Jelajah Ehsan Rakyat DUN Morib di Taman Sri Desa, Kuala Langat pada 21 Januari 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Jualan murah negeri bantu jimat kos persiapan sambut Tahun Baharu Cina

KUALA LANGAT, 21 JAN: Orang ramai memanfaatkan program Jelajah Ehsan Rakyat peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Morib dengan membeli barangan keperluan Tahun Baharu Cina.

Wee Leong Seong. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

Peniaga Wee Leong Seong, 65, berkata jualan murah itu membolehkannya berjimat bagi membeli barangan makanan untuk dimasak sempena perayaan.

“Saya beli beras, ikan, ayam, daging dan telur dengan hanya RM106 saja. Jika diluar mungkin sudah cecah RM200. Jadi Tahun Baru Cina kali ini saya boleh jimat banyak untuk sediakan makanan.

“Teruskanlah program ini, lagi kerap lagi bagus, memang boleh buat rakyat jimat duit belanja,” katanya ketika ditemui di Jalan Desa 4, Taman Sri Desa di sini, hari ini.

Normi Kusnin. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

Suri rumah, Normi Kusnin, 59, yang pertama kali mengunjungi program itu mengakui terkejut dengan harga murah yang ditawarkan dan berhasrat untuk datang lagi jika dianjurkan di sekitar kawasan itu selepas ini.

“Bayangkan kalau ayam ini di luar mungkin cecah RM17 sekarang, tapi di sini RM10 saja. Bukan murah makanan keperluan harian sekarang.

“Alhamdulillah dapatlah jimat. Saya harap akan ada lagi program seperti ini yang menolong rakyat di sini sebab rakyat sini pun bukan orang senang semua golongan bawahan dan pertengahan,” katanya.

Inisiatif jualan murah tersebut menawarkan ayam standard (RM10 seekor), telur ayam gred B (RM10 sepapan), daging pejal segar (RM10 per pek), minyak masak 5kg (RM25), beras 5kg (RM10) dan ikan (RM6 per pek).

Orang ramai membeli barang keperluan asas yang dijual murah berbanding harga pasaran menerusi program Jelajah Ehsan Rakyat DUN Morib di Taman Sri Desa, Kuala Langat pada 21 Januari 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

Pengarang :