Kakitangan Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) (kiri) melayan pelanggan yang membeli ayam segar sempena Jelajah Ehsan Rakyat di Dataran Batu Laut Tanjong Sepat pada 31 Disember 2022. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM
BERITA UTAMANASIONAL

Jualan murah negeri disambung semula lusa di sembilan lokasi

SHAH ALAM, 23 JAN: Program jualan murah barangan asas anjuran Kerajaan Negeri yang dihentikan sementara sempena Tahun Baharu Cina diteruskan semula pada lusa di sembilan Dewan Undangan Negeri (DUN).

Jelajah Ehsan Rakyat akan diadakan di depan Balai Polis Selayang Baru (DUN Sungai Tua), sekitar Pusat Cahaya Ilmu (DUN Batu Tiga), Taman Selayang Baru (DUN Taman Templer) dan Jalan Tali Air 2 Ban 3 Lintang, Tanjung Karang (DUN Sungai Burong).

Program turut berlangsung di Kampung Melayu Pulau Carey (DUN Sijangkang), Kedai Makan Kak Arza, Kg Teluk Piah (DUN Bukit Melawati), Pukal Padi Parit 4 (DUN Sabak), Kampung Simpang 3 (DUN Jeram) dan Surau Jamiah, Persiaran Hamzah Alang (DUN Meru).

Inisiatif jualan murah kendalian Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) diteruskan sejak 16 Januari hingga Mac ini.

Antara produk ditawarkan ialah ayam standard (RM10 seekor), telur ayam gred B (RM10 sepapan), daging pejal segar (RM10 per pek), minyak masak 5kg (RM25), beras 5kg (RM10) dan ikan (RM6 per pek).

Jualan itu berjaya memanfaatkan lebih dua juta penduduk Selangor melalui siri jelajah di 693 lokasi sekitar 56 DUN.


Pengarang :