Bangunan Majlis Bandaraya Subang Jaya pada 20 Oktober 2020. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
PBTSELANGOR

Jualan pelupusan MBSJ tawar pelbagai barang sitaan penguat kuasa

Oleh FAIZAL NAZARUDDIN

SHAH ALAM, 10 JAN: Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) bakal mengadakan penjualan pelupusan pelbagai barang rampasan dan sitaan penguatkuasaan kepada awam.

Pihak berkuasa tempatan itu memaklumkan penetapkan tarikh lawatan bagi tujuan tersebut ialah Jumaat ini dan tarikh tutup peti, 19 Januari depan pada jam 12 tengah hari.

Menurutnya, antara barang pelupusan terlibat merupakan barang sitaan kelengkapan restoran, penjaja, pusat siber dan kedai pencuci kereta.

“Keseluruhan barang melibatkan sebanyak 736 item antaranya kerusi sebanyak 471 unit, meja (69 unit), khemah (17 unit) dan basikal roda tiga (10 unit).

“Selain itu barang elektronik seperti komputer riba (115 unit), komputer (42 unit), skrin komputer (33 unit) dan banyak lagi,” katanya menerusi Facebook hari ini.

MBPJ menjelaskan stor penempatan barangan terlibat iaitu di stor sitaan di Puchong Utama dan Jalan TP2, Subang Jaya.

Pihak awam diwajibkan menghadiri sesi lawatan tapak dan hadir mengikut masa ditetapkan manakala MBPJ tidak akan menerima sebarang tawaran sebut harga daripada syarikat yang tidak hadir semasa sesi diadakan.

Maklumat lanjut mengenai syarat dan peraturan penjualan pelupusan barang itu di https://www.mbsj.gov.my/ms/node/2182


Pengarang :