Orang ramai tidak melepaskan peluang membeli barangan asas pada harga murah ketika program Jualan Ehsan Rakyat di Flat PKNS AU3/1, Ampang Jaya pada 10 November 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Jualan PKPS diterus untuk stabilkan pasaran barang keperluan

SHAH ALAM, 11 JAN: Jualan Ehsan Rakyat (JER) fasa dua yang diteruskan minggu depan bertujuan menstabilkan pasaran barangan keperluan yang masih tidak menentu.

Dato’ Menteri Besar berkata jualan murah yang bermula 15 Januari ini hasil kerjasama Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) dan Koperasi Warga Hijrah Selangor (KoHijrah).

“Kita akan teruskan JER sehingga Mac kerana saya tahu untuk stabilkan harga dan bekalan itu mengambil masa.

“Perbezaannya kali ini kita jemput KoHijrah dan Fama. Kita akan bergabung pada setiap jualan,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan amanat tahun baharu 2023 di Dewan Jubli Perak, Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini hari ini.

Amirudin berkata melalui kerjasama berkenaan, Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) menawarkan lebih banyak pilihan produk pada harga berpatutan.

Menurutnya, agensi itu juga sedang meneroka pasaran telur di Thailand bagi memenuhi permintaan bekalan telur tempatan.

Jualan murah PKPS diteruskan bermula 15 Januari hingga Mac dengan 11 lokasi setiap hari berbanding sembilan sebelum ini.

Sebelum ini, jualan itu berjaya memanfaatkan lebih dua juta penduduk Selangor melalui siri jelajah di 693 lokasi sekitar 56 Dewan Undangan Negeri (DUN).


Pengarang :