Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari bercakap kepada media selepas merasmikan Pusat Prasekolah Anak Istimewa Selangor (AnIS) di Seksyen 7, Shah Alam pada 12 Januari 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Kadar baucar beli-belah naik kepada RM200, penerima SMUE layak mohon

Oleh Suhaila Shahrul Annuar

SHAH ALAM, 16 JAN: Kadar baucar Jom Shopping Perayaan dinaikkan daripada RM100 kepada RM200 setiap keluarga, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata had pendapatan bulanan isi rumah juga ditingkatkan daripada RM2,000 kepada RM3,000 sebulan selain penerima program Skim Mesra Usia Emas (SMUE) turut layak memohon baucar itu.

“Kerajaan Negeri menerima maklum balas daripada warga emas yang memohon bantuan Baucar Jom Shopping sempena tiga perayaan utama tahun ini iaitu Aidilfitri, Tahun Baharu Cina dan Deepavali.

“Sehubungan itu, kadar baucar ditambah RM100 lagi untuk setiap keluarga manakala had pendapatan bulanan isi rumah pula ditingkatkan menjadi RM3,000 sebulan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Jelas Amirudin, penerima Program Skim Mesra Usia Emas juga layak memohon baucar berkenaan memandangkan kos sara hidup yang agak menekan ketika ini.

“Bantuan serta usaha penambahbaikan ini diharap akan meringankan beban hidup rakyat dan menghulurkan bantuan kepada golongan memerlukan sejajar dengan tekad Kerajaan Negeri bahawa tiada sesiapa yang keciciran,” katanya.

Amirudin berkata secara keseluruhan, Kerajaan Negeri menganggarkan 82,400 penerima bagi program ini yang akan diperuntuk sebanyak RM16.8 juta.

Sebelum ini, penerima SMUE dan Bantuan Kehidupan Sejahtera Selangor (Bingkas) tidak layak memohon baucar beli-belah perayaan ini.


Pengarang :