Orang ramai menghadiri Karnival Kerjaya Mega 2022 di Pusat Konvensyen Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) pada 11 Jun 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Karnival mega tawar kerja bidang hotel, pembuatan dianjur Mac

SHAH ALAM, 10 JAN: Karnival Kerjaya Mega Selangor siri ketiga dijangka berlangsung awal Mac ini melibatkan lebih banyak majikan dalam sektor tumpuan.

EXCO pembangunan modal insan berkata industri itu meliputi perhotelan, hospitaliti, pelancongan, pembuatan selain peluang kerjaya untuk orang kelainan upaya (OKU).

“Lokasi penganjuran belum dimuktamadkan, namun yang pasti ada beberapa penambahbaikan seperti penyertaan majikan yang memerlukan ramai tenaga kerja,” kata Mohd Khairuddin Othman ketika dihubungi.

Dalam pada itu, beliau berkata karnival kerjaya siri kedua Disember lalu mendapat sambutan baik dengan dihadiri hampir 12,000 pencari kerja daripada pelbagai latar belakang kelayakan.

Beliau menjelaskan sebanyak 1,063 peserta berjaya mendapat kerja dengan paling ramai dalam bidang perhotelan, peruncitan, pembuatan selain makanan dan minuman.

“Jumlah yang berjaya mendapat kerja dikemas kini dari masa ke masa atas faktor pihak majikan masih dalam proses tapisan kali kedua,” katanya lagi.

Karnival Kerjaya Mega Selangor 2022 pada 10 dan 11 Disember lalu di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (Maeps) menawarkan lebih 30,000 peluang pekerjaan pelbagai sektor melibatkan 300 syarikat ternama.

Antara syarikat terlibat ialah Perusahaan Otomobil Nasional (Proton), Pos Malaysia, Prasarana, Puncak Niaga Holdings, Starbucks, Genting Malaysia dan agensi serta anak syarikat Kerajaan Negeri.

Siri pertama karnival di Pusat Konvensyen Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) pada 11 dan 12 Jun pula disertai lebih 100 syarikat termasuk badan kerajaan dan agensi Kerajaan Negeri.


Pengarang :