Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kelantan Wan Jamal Abdul Salam Wan Long (tengah) menunjukkan mercun yang dirampas di Kampung Padang Pak Amat, Pasir Puteh pada 9 Januari 2023. Foto BERNAMA
AGENDAJENAYAH

Kastam Kelantan rampas mercun, bunga api bernilai lebih RM35,000

PASIR MAS, 9 JAN: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kelantan merampas pelbagai jenis mercun dan bunga api seberat 2,159 kilogram (kg) yang disyaki diseludup dari negara jiran di Kampung Padang Pakt Amat, Pasir Puteh, semalam.

Pengarahnya, Wan Jamal Abdul Salam Wan Long, berkata bertindak atas maklumat awam dan pemantauan rapi, pasukan operasi daripada Bahagian Penguatkuasaan Rantau Panjang menahan sebuah lori muatan tiga tan dan sebuah kenderaan pacuan empat roda dalam serbuan jam 9.50 malam itu.

Bagaimanapun, katanya, pemandu lori dan kenderaan pacuan empat roda itu melarikan diri sebaik menyedari kehadiran pihak berkuasa.

Katanya, rampasan mercun dan bunga api bernilai RM35,631.75 itu dipercayai untuk dihantar ke Lembah Klang untuk sempena sambutan Tahun Baharu Cina.

“Siasatan masih terus dijalankan bagi mengesan pemilik lori dan pacuan empat roda yang telah dirampas,” katanya pada sidang media di Pejabat Penguatkuasaan JKDM Rantau Panjang, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Wan Jamal Abdul Salam berkata modus operandi sindiket terbabit menggunakan kenderaan lebih kecil untuk mengangkut bekalan dari kawasan sekitar sempadan untuk dibawa ke lokasi tersebut sebelum dipindahkan ke dalam lori untuk tujuan penghantaran ke Lembah Klang.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967, jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan denda tidak kurang dari 10 kali nilai barang atau RM50,000.00 yang mana lebih besar dan tidak lebih dari 20 kali nilai barang atau RM500,000.00 yang mana lebih besar, atau penjara tidak melebihi lima tahun atau  kedua-duanya sekali bagi kesalahan pertama,” katanya.

— BERNAMA

 


Pengarang :