Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor Dato’ Haris Kassim (dua kiri) memotong riben sebagai simbolik perasmian pejabat baru pejabat tanah dan galian Negeri Selangor di Bangunan Pentadbiran Kerajaan Negeri, Shah Alam pada 26 Januari 2023.Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Kaunter PTGS baharu di tingkat 1, Foyer SUK mulai Februari

SHAH ALAM, 26 JAN: Kaunter Pejabat Tanah dan Galian Selangor (PTGS) yang baharu akan beroperasi sepenuhnya di tingkat 1, Foyer Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah bermula Februari depan.

Pengoperasian secara berpusat itu menempatkan 46 kaunter berbanding sebelum ini sebarang rundingan dijalankan di aras bawah tanah (LG) dan empat.

Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor Dato’ Haris Kasim berkata pejabat PTGS baharu itu asalnya merupakan milik Jabatan Kerja Raya (JKR) tetapi telah berpindah ke Seksyen 17.

“Pejabat PTGS yang baharu ini diubah suai dan diinovasikan semula supaya dapat memberi ruang selesa kepada kakitangan untuk berurusan dengan pelanggan.

“PTGS memberi sumber utama kepada Kerajaan Negeri dan perlu diperkukuh supaya dapat beri perkhidmatan lebih baik untuk pelanggan. Dengan pengubahsuaian pejabat kepada satu aras ini dapat membantu kira-kira 800 hingga 1,000 pelanggan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis penyerahan kerja pengubahsuaian pejabat baharu PTGS di Foyer Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, hari ini.

Dalam pada itu, Haris menjelaskan Kerajaan Negeri mempunyai perancangan membina sendiri pejabat tanah pada masa akan datang.

“Kerajaan Negeri merancang bina sendiri pejabat tanah secara bersendirian dalam jangka masa panjang kerana urusan di PTG semakin berkembang dan ada keperluan sendiri.

“Setakat ini di peringkat Kerajaan Negeri telah bersetuju dan kini sedang menjalankan perbincangan lanjut,” katanya.


Pengarang :