Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika sidang media di Pejabat Perdana Menteri, 5 Disember 2022. Foto AFIQ HAMBALI/Pejabat Perdana Menteri
AGENDANASIONAL

Kawalan ketat tanpa pilih negara, elak kes Covid-19 naik semula

SHAH ALAM, 4 JAN: Kemasukan rakyat asing ke Malaysia akan dikawal ketat tanpa mengkhususkan mana-mana negara bagi mengelak lonjakan kes Covid-19, kata perdana menteri.

Menurut Datuk Seri Anwar Ibrahim, kerajaan bersikap tegas dan tidak bertolak ansur dalam menangani isu tersebut serta sentiasa mengutamakan keselamatan rakyat.

“Kerajaan putuskan tanpa ragu bahawa masalah kesihatan rakyat adalah keutamaaan. Pelancongan dan pertumbuhan ekonomi tidak boleh atasi kepentingan mengawal sebaran wabak dan jangkitan.

“(Timbul andaian) seolah-olah pelancongan penting, kita tegas dan tidak bertolak ansur. Semua tindakan melalui imigresen akan dikawal lebih ketat, tidak spesifik mana-mana negara,” katanya.

Bercakap dalam sidang media pascamesyuarat Kabinet di Putrajaya hari ini, perdana menteri turut menyarankan orang ramai untuk mengambil suntikan penggalak bagi mencegah jangkitan Covid-19.

Anwar memaklumkan pengambilan dos itu masih rendah dan kurang mendapat sambutan berbanding dos pertama dan kedua dengan hanya 4.9 peratus direkodkan setakat ini.

“Kita ada vaksin mencukupi, dilupuskan juga banyak kerana sambutan rakyat tidak hangat seperti dos pertama dan kedua. Suntikan penggalak hanya 4.9 peratus, dos yang masih ada enam juta.

“Saya usulkan untuk ambil suntikan kerana mengikut unjuran jangkitan ini belum tamat,” katanya.


Pengarang :