Peminat e-sukan tidak melepaskan peluang menyertai kejohanan Mobile Legend Bang Bang Jelajah Selangor Penyang di padang Taman Kosas, Ampang pada 19 Jun 2022. Foto Twitter SELANGOR PENYAYANG
AGENDANASIONAL

KBS saran penggiat e-sukan sertai kaji selidik, salur pandangan

KUALA LUMPUR, 3 JAN: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menyarankan rakyat Malaysia yang aktif atau pernah terlibat dalam e-sukan supaya menyertai kaji selidik secara dalam talian yang bertujuan mengumpul maklumat serta pandangan tentang ekosistem sukan itu di negara ini.

Menterinya Hannah Yeoh berkata hasil kaji selidik terbabit akan dimanfaat dan diguna pakai kementerian itu bagi pembangunan dasar serta strategi berkaitan sukan berkenaan pada masa akan datang.

“Kajian menyeluruh tentang ekosistem e-sukan tempatan penting untuk mendapatkan pemahaman yang mendalam dan maklumat kritikal yang sebelum ini tidak diketahui, selain memastikan bahawa semua keputusan yang dibuat didorong oleh data.

“Memandangkan pemain e-sukan Malaysia terus mencapai kejayaan di peringkat serantau dan antarabangsa, adalah penting untuk melihat secara ke dalam bagi mengukur potensi pertumbuhan pasaran Malaysia dan kesannya pada masa hadapan ke atas ekonomi, pembangunan belia dan sukan,” katanya dalam kenyataan.

Kenyataan itu memaklumkan kaji selidik melalui inisiatif Esports Integrated (ESI) dan Institut Penyelidikan Belia Malaysia (IYRES) itu yang dilancarkan Disember lepas hingga Februari tahun ini, turut menyasarkan pengumpulan maklumat demografi, psikografi serta kesan kewangan terhadap peminat sukan tersebut.

Menurut kenyataan itu kaji selidik kemudian akan disusuli dengan pembentukan Kumpulan Kerja Teknikal (TWG) yang terdiri daripada pakar e-sukan tempatan dan pihak berkepentingan pada Mac bagi tujuan perbincangan kumpulan fokus, selain memahami ekosistem pada tahap yang lebih mendalam dan teknikal.

Soal selidik dalam talian itu terbuka kepada semua rakyat Malaysia yang berminat dengan e-sukan atau pernah bermain mana-mana judul permainan dalam sukan itu, dan boleh diakses menerusi pautan https://bit.ly/esportsmy. – BERNAMA


Pengarang :