Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh melakukan gimik sekali gus merasmikan majlis penutup Kejohanan Catur Skolastik Kebangsaan Agrobank di Pusat Latihan Agrobank, Bangi pada 29 Januari 2023.
AGENDASUKANKINI

KBS serah geran RM30,000, bantu persatuan catur cungkil bakat baharu

HULU LANGAT, 29 JAN: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menyerahkan geran berjumlah RM30,000 kepada Persekutuan Catur Malaysia (MCF) untuk terus menganjurkan pertandingan di peringkat akar umbi bagi mencungkil lebih ramai bakat baharu yang mampu menggalas cabaran negara di peringkat antarabangsa.

Menterinya Hannah Yeoh, berkata geran berkenaan merupakan yang pertama diberikan pihaknya sejak dilantik memegang portfolio itu kira-kira sebulan lepas dan berjanji untuk sentiasa komited membantu industri sukan di negara ini.

“Saya harap MCF meningkatkan penganjuran aktiviti dan bekerjasama dengan pihak sekolah untuk promosi sukan catur terutamanya dalam kalangan kanak-kanak kerana ia melibatkan (penyertaan) semua jenis kaum, selain ibu bapa daripada pelbagai negeri yang sentiasa komited memberi sokongan kepada anak mereka.

“Sebenarnya MCF merupakan sukan pertama menerima geran daripada kami, jadi kami berharap sumbangan kecil daripada KBS ini dapat membantu mereka terus bergerak maju selepas ini,” katanya selepas majlis penyampaian hadiah Kejohanan Catur Kebangsaan Peringkat Sekolah di Pusat Latihan Agro Bank di sini hari ini.

Kejohanan berlangsung selama tiga hari bermula Jumaat lepas itu melibatkan penyertaan kira-kira 400 pelajar dari seluruh negeri dalam enam kategori iaitu bawah 7 tahun (B-7), B-9, B-11, B-13, B-15 dan B-17.

Sementara itu, Presiden MCF, Akhramsyah Muammar Ubaidah Sanusi berterima kasih atas dana yang diberikan KBS kerana peruntukan tersebut dapat membantu membangunkan sukan catur di Malaysia. – BERNAMA


Pengarang :