Aksi bola tampar wanita UTM yang menewaskan INTI International University dalam pusingan akhir Sukan Institusi Pengajian Tinggi pada Februari 2016. Foto Facebook Sukan Institusi Pengajian Tinggi
AGENDANASIONAL

KBS tentukan nasib jurulatih yang menampar dua pemain wanita

KUALA LUMPUR, 5 JAN: Kementerian Pendidikan menyerahkan kepada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) untuk menjalankan siasatan serta menentukan nasib jurulatih bola tampar yang menampar dua pemain wanita baru-baru ini.

Timbalan Menteri Pendidikan Lim Hui Ying berkata pihaknya akan memantau siasatan bersama KBS walaupun jurulatih terbabit telah tampil memohon maaf dan ibu bapa pelajar berkenaan telah memaafkan individu berkenaan.

“Menteri KBS Hannah Yeoh dan Menteri KPM Fadhlina Sidek akan sentiasa memantau siasatan dan perkara ini tidak galakkan kerana banyak cara untuk mengenakan denda kepada pelajar berkenaan,” katanya ketika ditemui di Wisma Dewan Bahasa dan Pustaka di sini hari ini.

Beliau mengulas isu seorang jurulatih pasukan bola tampar wanita Melaka bawah 14 tahun (B-14) yang menampar dua pemainnya dalam satu kejohanan berlangsung di Johor pada 14 hingga 16 September 2022.

Terdahulu, Lim menghadiri Pertandingan Teater Bahasa Melayu Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) membabitkan sembilan sekolah dari seluruh negara.

Lim berkata program itu telah dilaksanakan sejak 2016 bertujuan mengetengahkan bakat pelajar SJKC yang secara langsung dapat mempertingkatkan penguasaan bahasa kebangsaan melalui teater.

“Program ini dilaksanakan secara kerjasama dengan Persatuan Kebudayaan Han Malaysia (HAN), Dewan Bahasa dan Pustaka serta Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN).

“Dengan pelaksanaan program sebegini ia sangat membantu memperkasa Bahasa Melayu di kalangan pelajar SJKC dan dapat membantu menambah perkataan Bahasa Melayu melalui skrip teater yang dibaca oleh pelajar yang terlibat,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :