EXCO Industri dan Perdagangan Dato’ Teng Chang Khim (tengah) mendengar taklimat dari Pengerusi COMPASS IP Sdn Bhd Dato’ Stewart LaBrooy (dua,kiri) selepas perasmian galeri COMPASS @ Kota Seri Langat (COMPASS @ KSL) di UOA Business Park, Shah Alam pada 25 Ogos 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Kemasukan pelabur percepat pembangunan kawasan perindustrian hijau di Shah Alam 

KUALA LUMPUR, 10 JAN: Pembangunan kawasan perindustrian hijau di Kota Seri Langat, Shah Alam seluas 200 ekar dijangka bertambah rancak dengan kemasukan lebih ramai pelabur.

EXCO Pelaburan Dato’ Teng Chang Khim berkata ketika ini projek Compass @ Kota Seri Langat sedang berjalan selepas memperoleh kelulusan merancang (KM).

“Sekarang projek itu di peringkat pembangunan. Sekiranya ada pelaburan masuk maka akan merancakkan lagi pembangunan di sana, tetapi kena ada pembinaan kilang industri berkelas tinggi seiring revolusi industri 4.0 (IR4.0).

“Kita yakin projek itu berpotensi (untuk menarik pelabur) kerana ia projek yang amat menarik dengan menumpukan matlamat pembangunan mampan (SDG) seperti pemasangan bumbung panel solar,” katanya.

Beliau ditemui selepas menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara Clara International Beauty Group (CIBG) dan Slim Beauty House Jepun di Menara Kuala Lumpur di sini hari ini.

Dalam pada itu, Chang Khim menjangkakan projek yang dimulakan sejak tahun lepas selesai sepenuhnya dalam tempoh tiga hingga lima tahun.

“Sekarang pembangunan dalam fasa pertama, kita jangka paling lewat lima tahun akan siap bergantung kepada kelajuan pelaburan yang masuk di kawasan itu,” katanya.

Pada 25 Ogos lalu, beliau memaklumkan projek membabitkan nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM1.2 bilion dilaksana dengan kerjasama Permodalan Nasional Berhad, KWEST Sdn Bhd dan AREA Group of Companies (AREA).

Selain SDG, katanya projek tersebut menepati faktor persekitaran, sosial dan tadbir urus (ESG).


Pengarang :