Tapak pelupusan sampah haram di Bandar Mahkota Cheras yang ditutup Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) selepas dikesan menyebabkan pencemaran bau oleh Jabatan Alam Sekitar (Jas). Foto Facebook JAS
AGENDANASIONAL

Kementerian sasar bersihkan 100 tapak sampah haram

KUALA LUMPUR, 13 JAN: Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) bertekad untuk merobohkan dan membersihkan sekurang-kurangnya 100 tapak pelupusan haram di seluruh negara dalam tempoh 100 hari pertama kerajaan perpaduan berkuasa.

Menterinya Nga Kor Ming berkata langkah itu akan menjadi sebahagian daripada petunjuk prestasi kementerian untuk kesejahteraan seluruh rakyat Malaysia.

“Tindakan lebih tegas akan diambil terhadap mereka yang melakukan perbuatan ini (melupuskan sampah secara haram),” katanya dalam catatan di Twitter hari ini.

Kelmarin Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) Wilayah Persekutuan dilaporkan berkata ia akan memperhebat penguatkuasaan terhadap pelupusan haram sisa pembinaan dan sampah di bandar raya.

Pengarahnya Ummi Kalthum Shuib berkata tahun lepas 42 lokasi tumpuan tempat pelupusan sampah secara haram dilaporkan, dengan 29 daripadanya adalah kawasan tumpuan untuk pelupusan sisa buangan sektor pembinaan.

Jumlah lokasi tumpuan juga meningkat daripada 32 pada 2021 kepada 42 pada 2022.

– BERNAMA


Pengarang :