Tee Kim Chuan menunjukkan menu istimewa di restoran miliknya, Famous Thai Restaurant di Plaza Shah Alam. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
BERITA UTAMAPERSONALITIRENCANA

Kemiskinan keluarga didik usahawan cekal harungi cabaran niaga

Pembukaan cawangan baharu restoran yang diharap melonjak keuntungan sebaliknya mengakibatkan usahawan Tee Kim Chuan terpaksa menanggung kerugian antara RM10,000 hingga RM30,000 sebulan.

Hampir tiga tahun beliau cuba bertahan supaya restoran di pusat beli-belah Aeon Big Subang Jaya yang dibuka pada 2008 tidak gulung tikar. Namun, dengan berat hati, selepas kerugian keseluruhan dianggar bernilai hampir RM1.5 juta, beliau menjual cawangan itu pada harga RM300,000 pada 2011.

Perniagaannya juga berdepan cabaran pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mulai Mac 2020 berikutan penularan Covid-19. Dalam tempoh lebih setahun, beliau menanggung kerugian lebih RM700,000.

“Sebelum PKP, jualan sebulan boleh cecah RM250,000 sebulan tetapi sepanjang PKP, tidak sampai RM20,000 sedangkan sewa sahaja RM20,000. Nasib baik dapat diskaun. Selain itu, gaji 17 pekerja juga kena bayar,” katanya.

Kali ini, beliau terpaksa menjual salah satu daripada tiga rumahnya. Mujur, tidak lama selepas PKP dilonggar mulai September 2021, perniagaannya pulih hasil bantuan rakan dan pinjaman Yayasan Hijrah Selangor (Hijrah).

Kim Chuan mula terlibat dalam perniagaan apabila membeli restoran makanan tradisonal Thailand iaitu Famous Thai Restaurant di Plaza Shah Alam daripada seorang rakan pada harga RM300,000. Pembelian dibuat berbekal wang simpanan dan pinjaman saudara serta rakan pada 2003.

Lebih 100 menu cita rasa tradisional Negara Gajah Putih disediakan untuk pilihan pelanggan antaranya tomyam, ikan lemon, sotong telur masin, siakap tiga rasa, yam ring, ikan mangga dan ketam lembut.

Restoran tersebut juga mendapat penarafan kebersihan ‘A’ atau sangat bersih daripada Majlis Bandaraya Shah Alam sejak 2011 selain memiliki sijil halal yang diperbaharui setiap dua tahun.

Pekerja Famous Thai Restaurant menyediakan hidangan untuk pelanggan. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Lantai tanah

Sebelum terlibat dalam perniagaan itu, Kim Chuan yang kini berusia 52 tahun hidup serba kekurangan. Beliau sembilan beradik tinggal bersesak dalam rumah papan kecil berlantai tanah. Itupun menumpang tanah milik bapa saudaranya. Atap zinknya pula bocor sana sini. Bekalan elaktrik tiada.

Sejak berusia tujuh tahun lagi, beliau sentiasa bangun tidur seawal jam tiga pagi untuk membantu bapa mencari durian dan buah-buahan sebelum ke sekolah.

“Rumah tumpang atas tanah pakcik. Pokok durian pun orang punya. Kami kutip dan hasilnya bahagi dua dengan tuan tanah,” katanya ketika ditemui Selangorkini di Famous Thai Restaurant di Plaza Shah Alam pada 9 Januari.

Ketika berusia 18 tahun, bapa kepada dua anak itu berkelana ke Singapura pada 1989 dengan azam untuk mengubah kehidupan. Gaji bekerja di republik itu digunakannya untuk membantu bapa meningkatkan taraf kehidupan keluarga.

Selepas tujuh tahun hidup di perantauan, beliau kembali ke kampung halaman di Banting, Kuala Langat dan membantu bapanya mengusahakan kolam ternakan ikan tilapia. Tidak lama kemudian, Kim Chuan membeli restoran pertamanya iaitu Famous Thai Restaurant.

Pekerja Famous Thai Restaurant melayani pelanggan. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Walau dua kali berdepan kerugian besar dalam perniagaan, beliau yang biasa hidup susah sejak kecil tidak mudah patah semangat. Seboleh-bolehnya beliau bertahan, ditambah lagi dorongan pekerjanya yang dilayan sebagai rakan kongsi.

“Saya layan 17 pekerja ini seperti rakan kongsi. Saya hormat mereka kerana mereka harta penting syarikat sebab itu semua pekerja saya tahan lama kerja dengan saya antara lima tahun hingga ada yang dah 20 tahun,” katanya.

Telahannya tepat. Kerugian yang ditanggung sekian lama mula bertukar kepada keuntungan sejak kelonggaran tatacara operasi piawai (SOP) Covid-19. Restorannya kembali diserbu pelanggan. Sedikit demi sedikit, jualannya kembali meningkat dan mencatat keuntungan.

Tidak mudah berpuas hati, Kim Chuan pada masa ini merancang untuk mengubah suai dapur, bumbung dan lantai restoran dengan anggaran kos kira-kira RM100,000 bagi meningkatkan tahap keselesaan pelanggan.

Selain menggunakan keuntungan perniagaan, beliau turut memperoleh pinjaman Yayasan Hijrah Selangor (Hijrah) sebanyak RM29,000 pada Disember lalu.

“Saya cuba pinjam bank tetapi tidak lepas sebab komitmen tinggi. Ada kawan saya cadangkan cuba pinjam Hijrah. Lagi bagus sebab Hijrah punya caj juga tidak tinggi,” katanya.


Pengarang :