Kelihatan dua anggota polis sedang membuat rondaan di Bandar Klang berikutan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Klang ketika tinjauan pada 11 Oktober 2020. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Kempen cegah jenayah, rumah selamat tingkat kesedaran masyarakat

MELAKA, 14 JAN: Kempen Cegah Jenayah dan Rumah Selamat dilihat satu kaedah efektif dalam memberi kesedaran kepada masyarakat di Melaka bagi menjaga keselamatan dan harta benda ketika pulang ke kampung pada musim cuti perayaan.

Ketua Polis Melaka Datuk Zainol Samah berkata ia termasuk kaedah mengisi borang balik kampung memaklumkan ketiadaan di rumah juga memainkan peranan penting untuk membolehkan pihak polis melakukan rondaan di kawasan kejiranan.

“Sebagai contoh, sepanjang tempoh kajian pengisian borang balik kampung dalam tempoh lima tahun kebelakangan ini menunjukkan tiada kes pecah rumah yang berlaku sepanjang musim perayaan Tahun Baharu Cina dalam daerah Melaka Tengah.

“Ia termasuk penggunaan aplikasi Volunteer Smartphone Patrol (VSP) bagi melaporkan pergerakan penghuni dan berdasarkan kajian, tiada kes pecah rumah atau premis berlaku tahun lepas yang memaklumkan kepada pihak polis menggunakan kaedah ini dengan melibatkan seramai 1,037 pengguna sama ada ketika musim perayaan atau meninggalkan rumah bagi tempoh yang lama,” katanya di Jonker Walk di sini malam tadi.

Terdahulu, beliau melancarkan Kempen Cegah Jenayah dan Rumah Selamat sempena Tahun Baharu Cina 2023 yang turut dihadiri Timbalan Ketua Polis Melaka Datuk Razali Abu Samah dan Pengerusi Jonker Walk Datuk Gan Tian Loo.

Zainol berkata kerjasama masyarakat amat penting bagi melaksanakan langkah-langkah pencegahan jenayah secara maksimum dalam memastikan kejayaan dapat dicapai dalam pelaksanaan program ini.

“Justeru kita berharap mereka yang pulang ke kampung dapat pastikan rumah dikunci dengan memasang alat keselamatan tambahan seperti rakaman litar tertutup (CCTV), mangga, jeriji pintu dan tingkap atau menutup mana-mana ruang yang boleh dimasuki penjenayah.

“Masyarakat atau jiran juga digesa untuk sentiasa menjadi pemerhati kepada jiran tetangga sekiranya terdapat kenderaan atau kehadiran orang yang meragukan boleh lapor kepada pihak polis menerusi talian MERS 999,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :